Education

Petronas komited untuk bekerjasama dengan UUM bagi memperoleh kepakaran dan pengalaman

Berita dan gambar Siti Nazirah Jaya

KUALA LUMPUR, 12 Januari 2025: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) komited untuk meneruskan kerjasama berterusan dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam perkongsian kepakaran dan pengalaman untuk memajukan pendidikan dan perkembangan kerjaya pelajar, terutamanya bagi pelajar tahun akhir.

Dalam kunjungan balas Petronas ke UUM pada 25 Ogos 2024, Pengurus Besar Kanan (Global HR Partners PD&T), Mario Teo berkata, harapan pihaknya adalah untuk memberikan peluang kepada pelajar UUM, khususnya pelajar tahun akhir untuk memperoleh pengetahuan dan pengalaman daripada Petronas sebagai persiapan mereka untuk memasuki dunia industri.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan turut menyuarakan sokongan penuh terhadap kerjasama ini.

Dalam satu temubual, beliau menyatakan bahawa usaha berterusan ini adalah tepat pada masanya untuk membantu mencapai aspirasi UUM dalam melahirkan siswazah yang berkualiti tinggi yang bukan sahaja mampu menyumbang kepada pembangunan negara, tetapi juga menjadi pemimpin masa depan.

“Kerjasama strategik ini akan terus memperkukuhkan hubungan antara UUM dan Petronas, terutamanya dalam aspek pengajian tinggi dan pembangunan kerjaya siswazah,” katanya.

MoU yang baru dimeterai antara kedua-dua pihak ini akan berlangsung selama tiga (3) tahun, bermula dari tarikh perjanjian ini dan dijangka berakhir pada 16 Disember 2027. Beberapa kerjasama utama yang dipersetujui adalah termasuk coaching dan program mentor-mentee bagi pensyarah dan pelajar tahun akhir, penganjuran ceramah, seminar, webinar, bengkel, latihan, dan kuliah untuk memantapkan pengetahuan dan kemahiran.

Selain itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam penyeliaan bersama dan penubuhan panel penasihat untuk semakan kurikulum serta projek tahun akhir.

Kerjasama ini juga merangkumi pelantikan wakil industri sebagai visiting scholar atau Pensyarah Adjung, pembangunan serta penganjuran penyelidikan dan penerbitan yang berkaitan dengan bidang teknikal dan inovasi, serta peluang untuk program pengajian pascasiswazah atau program dua ijazah kepada staf Petronas.

Tidak ketinggalan, peluang untuk pembelajaran berasaskan tempat kerja atau penempatan industri juga disediakan kepada pensyarah dan pelajar, memberi mereka peluang untuk mengembangkan kemahiran praktikal dalam persekitaran industri sebenar. Melalui kerjasama ini, pelajar dan pensyarah UUM dijangka memperoleh manfaat yang besar dalam aspek akademik dan kerjaya melalui pendedahan yang lebih luas kepada bidang industri.

Dengan berakhirnya jangka masa tiga tahun ini, diharapkan kerjasama antara UUM dan Petronas akan terus memberi impak yang besar dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan pelajar, seterusnya membuka peluang pekerjaan dan membentuk pelajar yang lebih berdaya saing di pasaran kerja global.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button