PKKPK teroka peluang kerjasama strategik bersama HIG Langkawi Holdings Sdn. Bhd.
Gambar Mohd Shakirin Che Harmidi
LANGKAWI, 21 Julai 2026: Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan (PKKPK), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke HIG Langkawi Holdings Sdn. Bhd. bagi meneroka potensi kerjasama strategik yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi.
Sesi perbincangan yang berlangsung di Pejabat Urusan HIG, Kompleks HIG, Kuah itu telah diadakan antara Pengarah PKKPK, Prof. Madya Dr. Muhamad Dzahir Kasa dan Penasihat Pengarah HIG Langkawi Holdings Sdn. Bhd., Abdul Rahim Abdul Manaf.

Dr. Muhamad Dzahir berkata, perbincangan memfokuskan kepada peluang kolaborasi antara PKKPK dan HIG, khususnya dalam bidang pembangunan kajian kes pengurusan, perkongsian kepakaran industri, pembangunan modal insan serta pelaksanaan program yang mampu memberikan impak kepada sektor akademik dan industri.
Selain itu, menurutnya, sesi tersebut turut menyentuh mengenai perkembangan semasa serta reputasi HIG sebagai antara organisasi perniagaan terkemuka di Langkawi yang telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan industri pelancongan di pulau berkenaan.
Pengalaman serta kejayaan HIG dalam membangunkan perniagaan menjadi antara aspek yang berpotensi diketengahkan sebagai rujukan dan bahan pembelajaran melalui pembangunan kajian kes berimpak tinggi.

“Kerjasama strategik bersama pemain industri seperti HIG mampu memperkukuhkan hubungan universiti dengan industri serta membuka lebih banyak peluang kepada pembangunan kajian kes yang berasaskan situasi sebenar organisasi.
“Kolaborasi ini selaras dengan aspirasi UUM dalam memperkukuhkan jaringan strategik bersama industri di samping menyokong pemindahan ilmu, perkongsian kepakaran dan pembangunan ekosistem pembelajaran yang lebih relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Pertemuan tersebut diakhiri dengan hasrat kedua-dua pihak untuk meneruskan perbincangan bagi merealisasikan kerjasama yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan organisasi, industri dan komuniti secara mampan. – Nur Amirah Zakaria



