‘PolicyLead 2026’ bukti komitmen UUM dalam perkasa pembangunan dasar pendidikan tinggi
Gambar Ihsan AKEPT
NEGERI SEMBILAN, 29 Julai 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam pembangunan kepimpinan dan dasar pendidikan tinggi apabila bekerjasama dengan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) serta Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF), Universiti Sains Malaysia (USM) dalam penganjuran Policy Development and Leadership Programme (PolicyLead) 2026 yang berlangsung di AKEPT, Bandar Enstek dari 13 hingga 15 Julai lalu.
Program selama tiga hari itu menghimpunkan seramai 60 peserta yang terdiri daripada 40 peserta tempatan dan 20 peserta antarabangsa dari negara-negara Komanwel serta Asia Tenggara merangkumi pentadbir kanan universiti, penggubal dasar, ahli akademik dan penyelidik.

Platform ini diwujudkan bagi memperkukuh kompetensi dalam pembangunan dasar berasaskan bukti, kepimpinan strategik serta jaringan kerjasama rentas negara bagi memperkasa ekosistem pendidikan tinggi.
Penglibatan UUM dalam program ini bukan sahaja sebagai rakan penganjur strategik, malah turut memainkan peranan penting dalam kandungan akademik dan pelaksanaan program. Antara pengisian utama ialah syarahan bertajuk Higher Education in Challenging Times: Leadership for Excellence, Relevance & Societal Impact yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff yang mengupas kepentingan kepimpinan berwawasan dalam memastikan institusi pendidikan tinggi kekal relevan, berdaya tahan dan memberi impak kepada masyarakat.
Selain itu, peserta turut memperoleh pelbagai perspektif daripada barisan penceramah berwibawa yang mewakili institusi pendidikan tinggi dan organisasi dasar terkemuka, antaranya Naib Canselor IMU University, Academician Professor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail yang berkongsi pandangan mengenai hala tuju transformasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, manakala Pengarah Commonwealth Tertiary Education Facility (CTEF), Prof. Madya Dr. Thien Lei Mee memudah cara sesi jaringan antarabangsa yang memfokuskan perkongsian amalan terbaik dan pengukuhan kerjasama rentas negara.

Turut mencuri perhatian ialah Prof. Dr. Jisun Jung dari The University of Hong Kong yang membincangkan keutamaan global pendidikan tinggi, dasar serantau serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), sekali gus memperluas perspektif peserta terhadap pembangunan dasar pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
Turut menyumbang kepakaran ialah Prof. Madya Dr. Rozita Arshad dari UUM COLGIS menerusi sesi Understanding National Policy Cycles and Policy Formulation yang memberi pendedahan berkaitan kitaran pembangunan dasar negara, proses penggubalan dasar serta aspek tadbir urus yang menjadi asas kepada penghasilan dasar yang berkesan.
Kemuncak program menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani mengetuai sesi Policy Pitching iaitu platform pembentangan cadangan dasar oleh peserta yang dibangunkan melalui pendekatan kolaboratif sepanjang program. Sesi tersebut memberi peluang kepada peserta menerima maklum balas secara langsung daripada panel pakar sebelum cadangan dasar diperkemas untuk pembangunan dasar pendidikan tinggi pada masa hadapan.

Dalam masa yang sama, kerjasama strategik UUM bersama AKEPT digerakkan oleh Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Kepimpinan dan Jangkauan Global, Prof. Madya Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan. Beliau turut berperanan sebagai moderator sesi Policy Pitching yang menjadi acara penutup program, sekali gus memastikan perbincangan dasar berlangsung secara konstruktif dan memberi nilai tambah kepada semua peserta.
Dr. Ummu Atiyah berkata, kerjasama antara AKEPT, CTEF dan UUM membuktikan komitmen institusi pendidikan tinggi dalam membangunkan bakat kepimpinan yang bukan sahaja memahami proses penggubalan dasar, malah mampu menghasilkan penyelesaian yang praktikal, berasaskan bukti dan relevan dengan cabaran semasa.
“PolicyLead bukan sekadar sebuah program latihan, tetapi merupakan platform strategik yang menghimpunkan kepakaran akademia, pentadbir universiti dan pembuat dasar dari pelbagai negara untuk berkongsi pengalaman serta membangunkan idea-idea dasar yang mampu memperkukuh sistem pendidikan tinggi. UUM amat berbangga dapat memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif ini bersama AKEPT dan CTEF,” katanya.

Selain pengisian akademik, kejayaan penganjuran program ini turut disokong oleh komitmen jawatankuasa pelaksana UUM yang terdiri daripada pegawai Pengurusan dan Profesional (P&P) universiti yang juga merupakan ahli Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERPATI). Pasukan tersebut bertanggungjawab menyelaras aspek pengurusan, logistik dan operasi sepanjang program bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
Presiden PERPATI UUM, Kartini Tajul Urus merakamkan penghargaan kepada pihak AKEPT, CTEF serta seluruh jawatankuasa UUM yang telah memberikan komitmen tinggi dalam menjayakan program tersebut.
“Kejayaan PolicyLead 2026 merupakan hasil kerjasama erat semua pihak yang berkongsi matlamat untuk memperkukuh kepimpinan dan pembangunan dasar pendidikan tinggi.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh jawatankuasa UUM, khususnya rakan-rakan pegawai P&P dan ahli PERPATI yang telah memberikan komitmen, profesionalisme dan semangat kerja berpasukan sepanjang program ini berlangsung,” katanya.
Melalui penyertaan aktif dalam PolicyLead 2026, UUM terus memperkukuhkan reputasinya sebagai universiti pengurusan terkemuka yang komited dalam pembangunan kepimpinan, penyelidikan dasar serta pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Kerjasama strategik ini turut membuka ruang kepada jaringan akademik yang lebih luas serta menyokong pembangunan cadangan dasar berimpak tinggi yang bakal menyumbang kepada perbincangan di peringkat Komanwel pada masa hadapan. – Akmal Ahlami Md Rozai



