Potensi kerjasama UUM dan KEMAS dalam Projek Latihan Retort di Padang Terap
Berita dan gambar Dr. Rosfaraliza Azura Ramli
ALOR SETAR, 6 April 2025: Satu kunjungan hormat dan sesi perbincangan antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Kedah telah berlangsung di Pejabat KEMAS Kedah pada 27 Mac lalu.
Sesi ini melibatkan Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) dan Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) UUM dalam usaha meneroka peluang kerjasama bagi pelaksanaan Projek Latihan Retort untuk komuniti kampung di Padang Terap.
Delegasi UUM terdiri daripada enam ahli akademik daripada pelbagai pusat pengajian serta seorang guru masakan dari KEMAS.
Pensyarah STHEM, Umme Umaimah Amin berkata, inisiatif ini bertujuan memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan dalam usaha memajukan komuniti luar bandar, khususnya melalui pemindahan teknologi dan kemahiran dalam pemprosesan makanan menggunakan teknologi retort.
Menurutnya, ianya adalah sebahagian daripada komitmen universiti dalam menjayakan agenda pembangunan mampan dan memperkasa komuniti menerusi latihan yang relevan dan praktikal.
Sesi perbincangan ini membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk meneliti potensi pelaksanaan program secara bersama, yang bukan sahaja menyasarkan peningkatan kemahiran komuniti tetapi juga memberi impak kepada pembangunan ekonomi setempat.
Kerjasama ini dijangka akan memperkukuh jaringan akademik-praktikal serta menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui pemerkasaan komuniti dan pembangunan keusahawanan luar bandar.