PPKKG dan AIA Elite Academy bincang ruang kerjasama
Gambar Dr. Fikriyah Abdullah
KUALA LUMPUR, 5 Mac 2025: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan perbincangan bersama AIA Elite Academy bagi membincangkan kerjasama antara universiti dan pihak industri bertempat di AIA Sentral, Menara AIA, baru-baru ini.
Delegasi UUM telah diwakili oleh Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah bersama Penyelaras School of Hard Knocks (SoHK), Dr. Adilah Azhari.
Menerusi perbincangan ini, pihak UUM telah menawarkan peluang kerjasama dalam menyertai program SoHK. yang merupakan program inisiatif oleh PPKKG bagi membantu pelajar membuat persediaan diri sebelum memasuki alam pekerjaan, di samping dapat mengasah kemahiran-kemahiran yang diperlukan industri pada masa ini.
Hasil daripada perbincangan itu, pihak AIA berminat untuk menyertai SoHK dan akan membuka penyertaan AIA Padawan pada April ini.
Dalam pertemuan itu juga, pihak AIA membentangkan perancangan dan modul yang akan disediakan oleh mereka. Tambahan lagi, pihak AIA juga menawarkan elaun tunai kepada AIA Padawan.
AIA juga menunjukkan minat untuk menyertai Karnival Kerjaya UUM 2025 yang dijangka akan diadakan pada bulan Mei ini.
Dr. Fikriyah berkata, PPKKG amat berbesar hati dengan kerjasama ini kerana dapat membantu pelajar UUM khususnya pelajar tahun akhir mendapatkan peluang pekerjaan yang bergaji premium. – Anis Zulaikha Kamal