PPKKG santuni anak syurga di Taman Sinar Harapan
Gambar Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG)
JITRA, 18 November 2024: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Taman Sinar Harapan yang diselia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menganjurkan satu program khidmat masyarakat bersama anak syurga Taman Sinar Harapan.
Program CSR pada 12 November ini melibatkan lapan staf PPKKG, tiga pelajar praktikum dan sembilan pelajar On-Job Campus (OCJ) UUM.
Taman Sinar Harapan merupakan institusi di bawah JKM yang memberi penjagaan, pelindungan dan pemulihan kepada Orang Kurang Upaya kategori Masalah Pembelajaran (OKU). Penghuni ditempatkan bagi tempoh tiga tahun atau sehingga mencapai umur 18 tahun. Dalam tempoh tersebut penghuni akan diberi penjagaan, pelindungan dan pemulihan yang sewajarnya.
Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, program dimulakan dengan pembahagian kumpulan antara kakitangan dan anak-anak di Taman Sinar Harapan bagi aktiviti explorace. Aktiviti ini telah ditetapkan tiga checkpoint iaitu susun cawan kertas, bola ping pong dalam sudu dan pecah belon.
Selain itu, aktiviti seperti art therapy dan self-care oral hygiene turut dilaksanakan bagi meningkatkan penghargaan kendiri dan sebagai latihan untuk mereka berupaya menguruskan diri sendiri.
Dalam masa yang sama, staf PPKKG bergerak ke asrama Taman Sinar Harapan bagi menjalankan aktiviti gotong-royong. Ini secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim sesama staf PPKKG dan berpeluang untuk menyantuni anak-anak syurga di sana.
Program diteruskan lagi dengan ucapan penutup oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya. Dr. Massudi Mahmuddin dan Pengetua Taman Sinar Harapan, Azhar Ismail.
Dr. Massudi berkata, program sebegini perlu diteruskan lagi bagi memanusiakan pelajar-pelajar IPTA itu sendiri supaya dapat menyeimbangkan antara akademik dan juga nilai sosial mereka.
Pihak Taman Sinar Harapan mengalu-alukan kedatangan pihak PPKKG dan berharap agar program seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang. – Anis Zulaikha Kamal