PPQA tingkat kesedaran pelajar SK Dato’ Wan Kemara tentang budaya kualiti
Gambar Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA)
SINTOK, 18 November 2024: Bersempena dengan Hari Kualiti Sedunia, Bahagian Pengurusan Kualiti, Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA) telah menganjurkan program khas bertemakan “Budaya Kualiti Bermula dari Sekolah” di Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 223 pelajar Tahun 6 dan empat daripadanya merupakan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Pelbagai aktiviti bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan amalan kualiti dalam kehidupan seharian mereka telah diadakan semasa program tersebut.
Antara program ini adalah taklimat mengenai budaya kualiti bermula dari sekolah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Kualiti iaitu Prof. Madya Dr. Ku Maisurah Ku Bahador.
Pelajar-pelajar diberi pendedahan tentang pentingnya mengamalkan kualiti dalam setiap aspek kehidupan mereka, terutamanya peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pelajar sekolah. Selepas taklimat, pelajar-pelajar menyertai pertandingan mewarna yang bertemakan “Budaya Kualiti Bermula dari Sekolah”.
Selain itu, program ini turut mengadakan kuiz berdasarkan taklimat yang telah diberikan. Pelajar yang berjaya menjawab soalan kuiz dengan tepat menerima hadiah sebagai penghargaan atas usaha dan pengetahuan mereka.
Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi UUM iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Haniff Jedin.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan budaya kualiti dalam membentuk generasi yang bertanggungjawab dan berdisiplin.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah atas usaha kerjasama dalam melaksanakan program ini dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar-pelajar dan guru-guru di sekolah tersebut. Ia diharapkan dapat menyemai nilai-nilai kualiti dalam diri pelajar sejak usia muda, sekaligus menyumbang kepada pembentukan generasi yang lebih bertanggungjawab dan berdisiplin.
Hari Kualiti Sedunia biasanya disambut pada hari Khamis minggu kedua bulan November setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kualiti dalam organisasi di seluruh dunia. – Nik Haziatul Shima Nik Hassan