President University Indonesia teroka peluang kerjasama strategik dengan UUM
Gambar Amirul Aiman Che Omar
SINTOK, 3 Mac 2025: Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan hormat daripada Dekan Fakulti Sains Sosial dan Pendidikan, Prof. Madya Dr. M. Syafi’i Anwar dari President University, Indonesia.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk meneroka pelbagai peluang kerjasama strategik antara kedua-dua institusi, terutamanya dalam bidang penyelidikan, pengambilan pelajar baharu pascasiswazah, serta pelaksanaan program akademik dan mobiliti yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.
Wakil Dekan SoIS, Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero berkata, pihaknya sangat berbesar hati menerima kunjungan Dr. M. Syafi’i Anwar dari President University.
Menurutnya, kunjungan ini merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan kerjasama antara UUM dan President University serta akan membuka ruang kepada pelbagai idea dan inisiatif yang berpotensi untuk dilaksanakan pada masa hadapan.
Katanya, SoIS komited untuk menjalin kerjasama dengan institusi-institusi pendidikan tinggi terkemuka di rantau ini bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan serta potensi kolaborasi startegik lain.
Dr. M. Syafi’i Anwar juga turut menyatakan bahawa President University amat berminat untuk bekerjasama dengan UUM pada masa akan datang.
“Kami yakin bahawa kerjasama ini akan memberikan manfaat yang besar kepada pelajar dan pensyarah dari kedua-dua universiti,” katanya.
Beliau turut memuji kemudahan dan kepakaran yang terdapat di SoIS, UUM serta menyatakan hasrat untuk mengadakan lebih banyak aktiviti kerjasama pada masa akan datang.
Kunjungan hormat ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderahati dan lawatan ke fasiliti yang terdapat di SoIS, UUM serta Anjung Tamu, UUM. – Rosmiza Ahmad