Produk kajian pelajar tahun akhir STML raih juara di Karnival TVET MADANI@Kolej KEDA
Gambar Mohamad Faiznor Azmi
SINTOK, 11 November 2025: Inovasi pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia sekali lagi membuktikan keupayaan generasi muda menerajui agenda kelestarian negara apabila dua produk penyelidikan mereka meraih pengiktirafan tertinggi dalam NewGen World Innovation Challenge (NeWIC) sempena Karnival TVET MADANI @ Kolej KEDA 2025.
Tambah menarik, pertandingan ini menawarkan penyertaan percuma, membuka peluang adil kepada semua peserta tanpa kekangan kos penyertaan.

Pasukan penyelidik yang dianggotai Dania Hazwanie Salahuddin, Mohamad Faiznor Azmi, Khoo Syer Ching dan Cheong Yi Hui, di bawah bimbingan Ketua Penyelidik, Ts. Dr. Siti Khadijah Hubadillah, mempertaruhkan dua inovasi berasaskan penyelesaian masalah sebenar masyarakat: PLASTIBRICK dan LEAFPURE ECO SOAP.
Dr. Siti Khadijah berkata, produk PLASTIBRICK dinobatkan sebagai Juara serta menerima Pingat Emas, sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM1,000.
Berdasarkan maklumat kajian, PLASTIBRICK dihasilkan menggunakan plastik sisa yang dihancurkan dan dicampur bersama simen serta pasir, menghasilkan bata yang lebih ringan, mempunyai kekuatan mampatan sehingga 15 MPa, dan penyerapan air kurang daripada 1 peratus.

Ia menawarkan alternatif mampan kepada bahan binaan konvensional, sekali gus mengurangkan plastik yang berakhir di tapak pelupusan atau sistem perparitan. Inovasi ini menyokong pelaksanaan SDG 12 dan SDG 13, serta selari dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan inovasi hijau dan pengurangan sisa.
Produk kedua, LEAFPURE ECO SOAP, turut meraih Pingat Emas di mana sabun pencuci pinggan ini dibangunkan menggunakan minyak masak terpakai yang melalui proses saponifikasi, dicampur dengan ekstrak daun kari (Murraya koenigii) sebagai agen antibakteria semula jadi.
Hasil dapatan produk, penggunaan minyak masak terpakai dapat mengurangkan sisa dapur domestik yang boleh memberi kesan kepada rawatan air sisa, manakala kandungan daun kari mempertingkatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan. Produk ini menyokong usaha pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab, seiring dengan SDG 6 dan SDG 13, serta aspirasi MADANI untuk masyarakat berdaya lestari dan berpengetahuan.

Kedua-dua produk turut mempunyai potensi tinggi untuk dikomersialkan, termasuk kerjasama industri, bengkel komuniti dan projek pendidikan berkaitan ekonomi kitaran. PLASTIBRICK misalnya telah dikenal pasti sebagai bahan alternatif untuk perabot luar, laluan pejalan kaki dan projek komuniti, manakala LEAFPURE ECO SOAP sesuai untuk program keusahawanan sosial, produk komuniti, dan inisiatif pengurangan sisa minyak.
Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama STML dan UUM, tetapi turut membuktikan bahawa penyelidikan pelajar mampu menawarkan penyelesaian praktikal kepada masalah alam sekitar sambil menyokong matlamat pembangunan mampan. Ia selaras dengan misi TVET MADANI dalam memperkasa inovasi, kreativiti dan kesejahteraan negara. – Afnizura Fadlin Mahyuddin



