Program Bimbingan Perekodan Kewangan perkasa penjaja kecil wanita Changlun
Berita dan gambar Norfaiz Ab. Mutalib
SINTOK, 28 Oktober 2025: Asian Research Institute for Corporate Governance (ARICG), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Negeri Kedah (FAMA) dan Pertubuhan Kesedaran Wanita Negeri Kedah (PKWK) telah menganjurkan Program Bimbingan Perekodan Kewangan dalam Kalangan Penjaja Kecil Wanita di Pasar Tani Changlun, baru-baru ini.
Pengarah ARICG, Prof. Dr. Noor Afza Amran berkata, program ini disertai oleh penjaja kecil wanita dari kawasan Changlun dengan objektif utama memberi pendedahan mengenai kepentingan penggunaan aplikasi digital dalam merekod transaksi perniagaan secara lebih teratur dan sistematik.

Program ini juga menyokong inisiatif Universiti Utara Malaysia serta pelaksanaan Community Transformation Program (CTP) dalam usaha melestarikan pembangunan komuniti di Changlun.
Bengkel dimulakan dengan sesi bimbingan oleh Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Prof. Madya Dr. Rafeah Mat Saat.
Dalam sesi tersebut, peserta diperkenalkan kepada aplikasi yang boleh membantu mereka merekod transakasi kewangan perniagaan dengan lebih cekap dan berkesan.
Selain sesi penerangan, turut diadakan slot perkongsian pengalaman daripada penjaja kecil wanita sendiri, yang menceritakan cabaran yang dihadapi dalam menguruskan perniagaan harian. Sesi ini telah membuka ruang perbincangan yang konstruktif bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan daya saing dalam kalangan penjaja kecil.

Program tersebut turut mendapat perhatian dan sokongan daripada Pegawai FAMA Daerah Kota Setar dan Kubang Pasu, Norasikin Ahmad, dan Pengurus Delazi Enterprise, Noor Rina Hassan, yang memberi dorongan kepada peserta untuk terus memperkasakan perniagaan masing-masing melalui penggunaan teknologi dan pengurusan kewangan yang baik.
Penganjuran program ini diharap dapat membantu penjaja kecil wanita di Changlun memperkukuh daya saing mereka dalam perniagaan serta meningkatkan tahap literasi kewangan melalui penggunaan teknologi digital secara meluas.



