Education

Program ‘Dari Dapur Ke Hati’ santuni warga emas Napoh

Gambar STHEM

NAPOH, 4 Februari 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) “Dari Dapur ke Hati” dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan Perbankan, Kewangan dan Ekonomi (SEFB) bagi menyantuni warga emas dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Napoh.

Pensyarah, Dr. Nurul Syazana Hishamuddin berkata, program ini dilaksanakan di Restoran dan Dapur Latihan STHEM sebagai sebahagian daripada usaha universiti mendekati komuniti setempat melalui aktiviti berasaskan kemahiran dan kesejahteraan.

Menurutnya, program memberi tumpuan kepada pendedahan kemahiran asas penyediaan makanan dan minuman yang sihat dan bersesuaian dengan keupayaan warga emas.

Selain aktiviti memasak, peserta turut mengikuti ceramah kesedaran mengenai demensia yang bertujuan meningkatkan pemahaman warga emas terhadap penyakit tersebut, termasuk tanda-tanda awal serta kepentingan penjagaan kesihatan mental dan kognitif. Ceramah ini turut memberi penekanan kepada usaha pencegahan awal dan sokongan sosial dalam kalangan warga emas.

Sepanjang program berlangsung, warga emas menunjukkan penglibatan yang aktif dan memberikan maklum balas yang positif terhadap aktiviti yang dijalankan.

Pihak PAWE Napoh menyatakan rasa gembira dan berpuas hati dengan penganjuran program ini kerana memberi peluang kepada warga emas untuk menimba pengetahuan baharu, berinteraksi sesama mereka serta mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat.

Program CSR ini turut memberi peluang kepada warga universiti untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti setempat, sekali gus mengukuhkan hubungan antara universiti dan masyarakat sekitar.

Inisiatif seumpama ini mencerminkan komitmen berterusan Universiti Utara Malaysia dalam melaksanakan aktiviti kemasyarakatan yang memberi impak positif kepada komuniti. – Dr. Nurul Syazana Hishamuddin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button