iMathKidzPlaygroup curi tumpuan murid luar bandar kuasai penyelesaian masalah matematik melalui “MathRace”
Gambar Nur Syafiqah Faidzul Hassan
KUBANG PASU, 10 Disember 2024: Pasukan penyelidik dari Institute of Excellent Teachers and Leaders in Education (IETLE), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan langkah proaktif membantu murid luar bandar dalam dalam menguasai penyelesaian masalah matematik melalui program inovasi sosial yang dikenali sebagai “iMathKidzPlaygroup”.
Program pembelajaran interaktif ini diteruskan dengan modul kelima bertajuk “OPS MASALAH 2” dengan aktiviti pembelajaran yang lebih menarik dan bermakna menggunakan pendekatan gamifikasi dinamakan “MathRace”.
Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Siti Nazuar Sailin yang merupakan Pengarah IETLE berkata, modul kelima ini mengetengahkan pendekatan belajar sambil bermain dengan ciri pertandingan berkumpulan.
Menurutnya, ia melibatkan empat stesen yang meliputi topik unit ukuran, isipadu, jisim dan nisbah. Pembelajaran dari satu stesen ke satu stesen ini juga merupakan pendekatan pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) yang menggabungkan sesi penerangan dan soal jawab, aktiviti praktikal dan penyelesaikan masalah berbantukan bahan pembelajaran yang realistik dan bermakna.
Salah seorang ahli penyelidik, Dr. Nurliyana Bukhari berkata, kesemua stesen mengetengahkan aktiviti pembelajaran yang berbeza, realistik dan bermakna.
“Sebagai contoh, peserta menggunakan reben berwarna dan pita ukur untuk mengukur dan menentukan unit panjang. Selain itu, jag dan air digunakan untuk mengukur isipadu cecair, manakala penimbang digunakan bersama bahan sebenar seperti tepung, serbuk koko dan gula untuk menentukan berat sesuatu jisim.
Lebih menarik, buah kelapa, spesimen wang dan bola berwarna digunakan untuk memahami konsep nisbah,” katanya.
Ketua Fasilitator, Khairunnasuha Abdul Razak menerangkan bahawa pendekatan ini telah memberi ruang kepada peserta untuk memahami perkaitan matematik dengan kehidupan seharian.
“Sepanjang sesi “MathRace” ini juga peserta menyelesaikan masalah matematik yang terkandung di dalam buku aktiviti iMathKidzPlaygroup yang direka khas oleh pasukan penyelidik.
“Modul ini bukan sahaja memfokuskan kepada penguasaan konsep matematik, tetapi juga menggalakkan kolaborasi dan komunikasi dalam kalangan peserta,” katanya.
Peserta sangat teruja dengan pendekatan “MathRace” ini dam memberikan maklum balas yang positif serta menunjukkan tumpuan dan penyertaan yang tinggi sepanjang aktiviti.
Modul terakhir program ini akan disambung pada minggu seterusnya dengan tajuk “Saya Love Math”, menandakan kesinambungan usaha ini dalam meningkatkan literasi matematik murid luar bandar. – Mohamad Amir Rahman Mohamad Ariffin