Program Jelajah Bahasa Rentasi Negara tingkat kesedaran bahasa dan budaya pelajar Maktab Mahmud Sik
Gambar Unit Bahasa Antarabangsa
SIK, 15 Januari 2025: Unit Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Jelajah Bahasa Rentasi Negara di Maktab Mahmud Sik.
Guru Bahasa dari Unit Bahasa Antarabangsa, Suryadi Marzuki berkata, program ini bertujuan mempromosikan Unit Bahasa Antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan sosial dan pendidikan masyarakat setempat.
Selain itu, menurutnya, ia juga berfungsi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang bahasa serta budaya dalam kalangan pelajar yang terlibat.
“Kita menekankan kepentingan program ini dalam memperkenalkan kelas bahasa antarabangsa yang ditawarkan di UUM.
“Program ini juga merupakan usaha untuk memperkenalkan Unit Bahasa Antarabangsa dan mempromosikan Pusat Pengajian Bahasa Tamadun dan Falsafah. Kami berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan,” katanya.
Program ini melibatkan penyertaan 200 pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4, serta sokongan daripada 14 staf Unit Bahasa Antarabangsa.
Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum Maktab Mahmud Sik, Mohd Shahrul Anuar Rejab menyatakan rasa bangga kerana pelajar-pelajar berpeluang belajar secara langsung daripada staf universiti berprestij ini.
Beliau turut memuji usaha ini sebagai pengalaman pertama Maktab Mahmud Sik menerima fasilitator dalam jumlah yang besar untuk mengendalikan program seperti ini.
“Program ini bukan sahaja bermanfaat kepada peserta tetapi juga memberi pendedahan mengenai bahasa dan budaya negara luar,” katanya.
Program ini diakhiri dengan sesi bergambar melibatkan semua peserta dan staf. Aktiviti ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara UUM dan komuniti setempat tetapi juga membuktikan komitmen universiti terhadap pembangunan masyarakat yang lebih progresif dan inklusif. – Zeety Kartini Abdul Hamid