Education

Program Mobility Inbound: Global Nexus USU x UUM 2026 perkukuh sinergi akademik dan budaya serantau

Berita dan gambar Jannatara Begum Mohamad Rashid @ Maung Tin Win

SINTOK, 6 Ogos 2026: Seramai 20 pelajar dari Universitas Sumatera Utara (USU), Medan, Indonesia bersama 24 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berkampung di UUM bagi menjayakan program mobiliti inbound, GLOBAL NEXUS: USU x UUM 2026 yang melabuhkan tirainya, hari ini.

Program bermula 23 Julai hingga 6 Ogos itu dianjurkan oleh Biro Integrasi, Komuniti & Antarabangsa Inapan Siswa (Inasis) Bank Muamalat dengan kerjasama Inasis MISC dan Inasis Proton bertujuan memperkukuhkan hubungan akademik, pertukaran budaya, serta kelestarian jaringan antarabangsa.

Fasa awal program dimulakan secara dalam talian selama tiga hari bagi sesi suai kenal, sebelum delegasi USU tiba secara fizikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 26 Julai lalu dan dirai dalam satu Majlis Makan Malam Aluan di UUM.

Pengisian mobiliti ini merangkumi elemen akademik yang mampan apabila delegasi USU berpeluang menyertai Persidangan IAYC anjuran Tunku Puteri Intan Safinaz School of Accountancy (TISSA-UUM).

Bagi menyuburkan apresiasi silang budaya, waktu malam diserikan dengan pelbagai aktiviti interaktif seperti Perkongsian Budaya Malaysia–Indonesia, Cabaran Permainan Tradisional, Malam Mewarna Batik, dan Creativity Fashion Show.

Peserta antarabangsa itu turut dibawa meneroka keunikan pelancongan tempatan melalui lawatan ke mercu tanda bersejarah di Alor Setar termasuk Masjid Zahir dan Menara Alor Setar, selain melawat lokasi sempadan di Padang Besar, Perlis.

Kemuncak program mobiliti ini adalah penganjuran Program Keluarga Angkat yang diadakan di Pulau Tuba, Langkawi. Inisiatif turun padang ini membolehkan pelajar USU menyelami cara hidup masyarakat tempatan sambil menyertai aktiviti santai seperti island hopping.

Majlis Perasmian Penutupan di Pulau Tuba telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Pengetua UUM, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin dalam suasana yang cukup meriah, sambil disaksikan oleh Ketua Delegasi USU, Dr. Sambas Ade Kesuma.

Sementara itu, Penasihat Program GLOBAL NEXUS: USU x UUM 2026, Siti Farhana Shabudin menyifatkan penganjuran program mobiliti tersebut sebagai satu kejayaan besar dalam membentuk karakter dan prospek graduan.

“Program seperti GLOBAL NEXUS ini bukan sahaja membuka minda mahasiswa untuk melihat dunia dari perspektif yang lebih luas, malah ia bertindak sebagai jambatan penting dalam memperkukuh diplomasi akademik dan kebudayaan antara Malaysia dan Indonesia.

“Kami berharap interaksi harmoni dan pengalaman berharga sepanjang mereka berada di kampus hijau UUM dan komuniti Pulau Tuba ini akan mendewasakan mereka sebagai pemimpin global masa hadapan yang menghargai nilai kepelbagaian,” kata beliau ketika ditemui pada majlis penutup tersebut,” katanya.

Dalam majlis yang sama, pertukaran cenderamata dan persembahan kebudayaan daripada kedua-dua universiti telah diadakan sebagai simbolik keakraban persahabatan rentas sempadan.

Delegasi USU telah berlepas pulang ke Medan pada 3 Ogos, menandakan tamatnya program secara fizikal. Bagaimanapun, kelangsungan program diteruskan sehingga 6 Ogos menerusi sesi dokumentasi, refleksi pasca mobiliti, dan penutupan rasmi secara dalam talian.

Penganjuran GLOBAL NEXUS: USU x UUM 2026 ini bukan sahaja memartabatkan reputasi UUM di persada antarabangsa, malah menyokong aspirasi pendidikan tinggi negara dalam membina jaringan kerjasama yang berimpak tinggi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button