Program Sinergi + Inspirasi (SPI) 2026: Nabi Muhammad SAW jadi model kepimpinan unggul
Gambar Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 23 Julai 2026: Jadikan Nabi Muhammad SAW sebagai model kepimpinan unggul dalam usaha melahirkan pentadbir masa hadapan yang strategis, bijak membuat keputusan dan membawa impak positif dalam sesebuah organisasi.

Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman yang hadir ke Program Sinergi + Inspirasi (SPI) 2026 berkata, pentadbir boleh memupuk gaya kepimpinan melalui proses pembelajaran, pengalaman dan pembangunan diri berdasarkan kualiti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Antara pendekatan pentadbiran Baginda yang berteraskan amanah, syura dan keadilan kekal relevan sepanjang zaman sebagai panduan dalam memperkukuh tadbir urus sesebuah organisasi dalam era moden.
Selain menyentuh tentang tadbir urus dan kepimpinan, beliau turut berkongsi pengalaman hidup dan perjalanan kerjaya beliau kepada peserta sempena Sesi Wacana Kepimpinan anjuran Jabatan Sumber Manusia dan dengan kerjasama PERPATI yang bertemakan “Leading Beyond Borders: Shaping Future-Ready Officers” di Kompleks Konvensyen, Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Platform tersebut membolehkan peserta dan jemputan khas membincangkan tentang isu semasa, cabaran dalam pengurusan organisasi, menjelaskan prinsip tadbir urus dan perundangan dari sudut akademik serta korporat.
Datuk Roslan berkata, pengalaman membesar dalam keluarga tentera banyak mengajar beliau tentang nilai disiplin, berpegang kepada prinsip dan kemudian membentuk gaya kepimpinannya.
Dalam pada itu, Timbalan Pendaftar yang Menjalankan Fungsi Pendaftar UUM, Mohd Zulkifli Mohd Noor yang berucap pada program tersebut menyeru barisan pentadbir di UUM untuk melangkaui pemikiran konvensional bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan.

Selain itu, mereka diharap dapat bertindak secara strategik dan proaktif bagi meningkatkan lagi nama universiti.
Menurutnya, kecemerlangan sesebuah organisasi bergantung kepada kualiti modal insan yang berpegang kepada prinsip tadbir urus serta berintegriti, berdaya saing dan mampu membawa impak positif kepada UUM.
Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat Anjung Tamu dan mengadakan pertemuan dengan Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed di Pejabat Naib Canselor. – Noor Zafiera Ahmad Idris



