Education

Program STI 100³ Kitaran 1.5 Anjuran Pensyarah SQS dengan Pembiayaan MOSTI

SINTOK, 18 Jun 2025:  Seramai 52 orang murid Tahun 5 dan 6 dari Sekolah Kebangsaan Dulang, Yan telah menyertai Program STI 100³ Kitaran 1.5 yang dianjurkan oleh sekumpulan pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan sokongan pembiayaan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Program yang membawa tema “STEM Explomatik” ini diketuai oleh Dr. Ayu Abdul Rahman serta disertai oleh Puan Yuhaniz Ahmad, Puan Norhafiza Mohd Noor, dan Cik Zakiah Hashim. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan minat dan penguasaan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui kaedah pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif.

Program telah berlangsung dalam tiga fasa bermula 8 April 2024 hingga 20 Mei 2025. Dua fasa pertama, iaitu “Bijak Sifir” dan “Tangan Robotik”, dilaksanakan di SK Dulang, manakala kemuncak program iaitu fasa ketiga telah diadakan di SQS, UUM.

Dalam fasa ketiga yang berlangsung pada 20 Mei, para pelajar didedahkan kepada permainan inovatif Fractopoly, ciptaan para pensyarah SQS yang terlibat, yang bertujuan memperkukuh pemahaman konsep nombor pecahan dan operasi matematik melalui pendekatan berasaskan permainan.

Lawatan ke UUM bermula seawal jam 8.30 pagi dengan kunjungan ke Anjung Tamu, disusuli dengan jamuan istimewa di SQS. Seterusnya, pelajar mengikuti kelas ulang kaji bertajuk “Pecahan dan Operasi Matematik” bersama pensyarah SQS sebagai persediaan sebelum bermain Fractopoly secara berkumpulan. Sebanyak 13 kumpulan pelajar telah dibentuk dalam sesi permainan tersebut yang berlangsung dalam suasana penuh semangat dan keterujaan.

Majlis penutup dimulakan dengan ucapan Guru Besar SK Dulang dan seterusnya dirasmikan oleh Timbalan Dekan Akademik SQS, PM Dr. Syariza Abd Rahman. Para pelajar dan guru turut menikmati jamuan ringan sebelum majlis penyampaian hadiah dan sijil kepada pemenang dan semua peserta.

Fasilitator terdiri daripada pelajar SQS turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran keseluruhan program. Sebagai penutup, rombongan dibawa menikmati hidangan tengah hari di KFC Changlun sebelum program berakhir sekitar jam 4.30 petang.

Program ini bukan sahaja berjaya memperkukuh pemahaman matematik pelajar tetapi turut membuka ruang kolaborasi antara SQS, UUM dan SK Dulang, Yan dalam usaha memperkasakan pendidikan STEM dalam kalangan generasi muda.

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button