Education

Program UnlockIt! STEM Math Edition hidupkan semangat STEM generasi muda

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Suhaida Abdullah

SINTOK, 8 Disember 2025: Program SciTech4U–STEM CAMP MOSTI 2025 yang membawa tema “Program UnlockIt! – STEM Math Edition” telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Program ini menghimpunkan seramai 100 murid Tahun 5 dan 6 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Laka Selatan yang hadir bagi menyertai pelbagai aktiviti berkonsepkan pembelajaran STEM secara interaktif dan menyeronokkan.

Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Nazrina Aziz berkata, sepanjang program, peserta didedahkan kepada aktiviti seperti Math Match (M2) yang menguji kemahiran penaakulan dan penyelesaian masalah matematik, aktiviti Hanging Magnet yang memperkenalkan konsep sains melalui eksperimen keseimbangan menggunakan magnet, serta Netting the Basic Needs yang memberikan pengalaman pembelajaran berpasukan sambil memahami keperluan asas kehidupan dari sudut STEM.

Menurutnya, kesemua aktiviti ini dirangka bagi menanam minat murid terhadap STEM melalui pendekatan hands-on dan penerokaan kreatif.

Majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid. Seterusnya, menyampaikan hadiah kepada para pemenang aktiviti diadakan sebelum program diteruskan dengan tayangan video khas Program UnlockIt! – STEM Math Edition.

Penganjuran program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan minat murid terhadap bidang STEM, malah turut memberikan pendedahan awal kepada dunia sains dan matematik secara menyeronokkan dan praktikal.

Program sebegini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi muda yang lebih kreatif, inovatif dan celik STEM.

Hadir sama, Guru Besar SK Felda Laka Selatan, Kamariah Kamaruddin.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button