Education

Program Wakaf Ilmu semai budaya bersih di Rumah Anak Yatim PERKIM

Gambar Unit Bahasa Antarabangsa

ALOR SETAR, 7 Disember 2025: Seramai 30 anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim PERKIM telah menerima manfaat daripada program Wakaf Ilmu anjuran Yawatim Kedah/Perlis dengan kerjasama sahabat PEYATIM Kedah/Perlis.

Turut terlibat ialah empat staf Unit Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bertindak sebagai fasilitator program tersebut.

Wakil YAWATIM Kedah/Perlis, Norekhsan Mahmud berkata, program ini bertujuan memperkasa anak-anak yatim dengan ilmu dan nilai murni, khususnya dalam aspek kebersihan dan disiplin diri.

Menurutnya, antara pengisian utama ialah perkongsian mengenai budaya bersih masyarakat Jepun yang dikenali sebagai “Souji no Jikan”, iaitu amalan menjaga kebersihan persekitaran secara bersama sebagai sebahagian daripada rutin harian.

“Konsep ini bukan sahaja mendidik anak-anak untuk menghargai kebersihan, malah membentuk sikap bertanggungjawab dan kerjasama dalam komuniti.

“Kami berharap anak-anak ini dapat menjadikan budaya bersih sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan mereka, sekali gus melahirkan generasi yang berdisiplin dan berilmu,” katanya.

Program Wakaf Ilmu ini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat setempat, di samping menyemai semangat prihatin dan kasih sayang kepada anak-anak yatim. – Zeety Kartini Abdul Hamid

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button