Education

Projek Perundingan Rentas Sempadan perkukuh hubungan Malaysia dan Thailand

Berita dan gambar Dr. Alminnourliza Noordin

SATUN, THAILAND, 17 September 2025: Delegasi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Prof. Dr. Nor Hasni Osman bersama tujuh penyelidik Kecemerlangan Operasi (OPEX) serta empat pegawai daripada Jabatan Perikanan Malaysia telah menerima sambutan rasmi daripada Gabenor Wilayah Satun, Sakra Kapilkarn, dalam satu majlis ringkas di Bilik Operasi Gabenor.

Dalam ucapan alu-aluan, Gabenor Satun menzahirkan rasa berbesar hati menyambut kehadiran delegasi UUM dan menekankan kepentingan projek yang dilaksanakan, bukan sahaja dari aspek sumbangan akademik, malah juga sebagai dasar pembangunan bersama dalam usaha pemeliharaan sumber marin yang berharga.

Beliau turut menyifatkan projek ini sebagai platform penting untuk memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Thailand serta mewujudkan kerjasama akademik berterusan.

Sementara itu, Dr. Nor Hasni berkata, projek penyelidikkan bertajuk “Kajian Penanda Aras Pengurusan Bersama Kawasan Perlindungan Marin” ini diyakini mampu melonjakkan kerjasama rentas sempadan dalam bidang pengurusan marin.

Menurutnya, penglibatan agensi berkaitan dari kedua-dua negara merupakan faktor penting bagi memastikan keberhasilan projek serta membuka ruang kepada penghasilan penyelidikan berimpak tinggi dan perkongsian ilmu yang lebih luas.

Delegasi UUM berada di Satun dari 11 hingga 15 September lalu untuk melaksanakan kerja lapangan, termasuk mengumpul data di Pulau Tarutao dan Pulau Lipe.

Projek ini turut mendapat kerjasama erat pihak berkuasa Thailand, termasuk Kapten Tentera Laut Saentai Bua-niam, Timbalan Pengarah Pusat Koordinasi Maritim Satun.

Delegasi UUM optimis bahawa projek ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pengetahuan, jaringan kerjasama antarabangsa, serta usaha berterusan dalam kelestarian sumber marin serantau.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button