Education

Pusat Alumni UUM perkasa jaringan alumni Universiti Awam melalui Mesyuarat dan Bengkel MALUMNI 2025 

Gambar Pusat Alumni

LANGKAWI, 1 November 2025: Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dipilih menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Majlis Alumni Universiti Awam (MALUMNI) Bil. 4/2025 dan Bengkel MALUMNI, yang berlangsung di Pulau Langkawi baru-baru ini.

Program berprestij ini menghimpunkan Pusat Alumni dari semua universiti awam di Malaysia bagi membincangkan agenda strategik dalam memperkukuhkan jaringan alumni serta memperkasakan peranan mereka terhadap pembangunan universiti masing-masing.

Pengerusi MAlumni, Prof. Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif berkata, bengkel ini menjadi platform penting bagi menyelaras hala tuju strategik pengurusan Pusat Alumni di seluruh universiti awam.

Menurutnya, ianya turut menjadi medan perkongsian amalan terbaik dalam memantapkan tadbir urus serta memperkukuh hubungan antara alumni dan universiti.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed,  telah menyampaikan ucapan aluan dan menzahirkan penghargaan kepada semua universiti awam atas komitmen serta kerjasama erat dalam memperkukuh jaringan alumni di peringkat nasional.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi MAlumni, Prof. Ts. Dr. Mohd Ruslim Mohamed.

Antara agenda utama bengkel ini ialah perancangan program utama tahun 2026 iaitu “Alumni Back to Campus”, yang akan melibatkan penyertaan semua universiti awam. Program ini dicadangkan untuk dilaksanakan sempena Hari Alumni Universiti Awam pada Julai 2026, sebagai usaha menarik semula alumni untuk kembali ke kampus dan menyumbang kepada alma mater masing-masing.

Gerak kerja bagi program ini akan dimulakan seawal penghujung 2025 bagi memastikan perancangan rapi serta pelaksanaan yang menyeluruh dan berimpak tinggi.

Penganjuran mesyuarat dan bengkel di Pulau Langkawi ini bukan sahaja memperkukuhkan jaringan profesional antara Pusat Alumni universiti awam, malah memperlihatkan komitmen berterusan UUM dalam memacu peranan alumni sebagai rakan strategik universiti ke arah kecemerlangan pendidikan tinggi negara. – Amelia Hakimi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button