Education

Pusat Islam erat hubungan dengan komuniti SMK Bukit Kayu Hitam

Gambar SMK Bukit Kayu Hitam

BUKIT KAYU HITAM, 16 Februari 2026: Pengarah Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Yusnaidi Md Sabri telah merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Ke-38 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kayu Hitam, baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengetua, Mazni Mustafar serta Yang Dipertua PIBG, E. Azman Abdul Rahim dan barisan guru dan ibu bapa.

Mohd Yusnaidi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jemputan yang diberikan dan menyifatkan program seumpama ini sebagai platform penting dalam merapatkan hubungan erat antara Pusat Islam UUM, pihak sekolah serta masyarakat sekitar kawasan universiti.

Beliau turut menyentuh mengenai Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang telah diluncurkan oleh Perdana Menteri Malaysia dengan menegaskan bahawa landskap pendidikan masa kini semakin mencabar, namun pada masa yang sama membuka peluang luas untuk kejayaan anak-anak dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, ibu bapa perlu menerima realiti perubahan ini dan memainkan peranan aktif dalam menyokong kemenjadian anak-anak, bukan sekadar meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak guru.

“Komunikasi berkesan antara ibu bapa dan anak-anak seperti bertanya khabar mengenai pembelajaran, memberi galakan serta dorongan berterusan, adalah elemen penting dalam membentuk kejayaan akademik dan sahsiah pelajar.

“Kehadiran ibu bapa ke program PIBG juga merupakan satu bentuk sokongan moral yang besar terhadap kejayaan anak-anak di sekolah,” katanya.

Majlis diakhiri dengan ucapan terima kasih kepada semua guru dan ibu bapa yang hadir serta harapan agar SMK Bandar Bukit Kayu Hitam terus cemerlang dan menjadi sekolah contoh kecemerlangan pencapaian akademik dan pembentukan sahsiah pelajar. – Nor Azlinah Zaini

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button