Pusat Islam UUM perkukuh sinergi strategik bersama Jabatan Mufti Negeri Kedah
Berita dan gambar Nor Azlinah Zaini
ALOR SETAR, 20 Julai 2026: Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Mufti Negeri Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah, Anak Bukit bagi memperkukuhkan hubungan strategik dengan pihak berautoriti dalam hal ehwal Islam di negeri ini.
Kunjungan ini diketuai oleh Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md. Sabri bersama tujuh pegawai yang terdiri daripada ketua bahagian dan ketua unit Pusat Islam UUM.

Sepanjang sesi tersebut, pihak Pusat Islam UUM berpeluang mengadakan pertemuan dan bertukar pandangan bersama Mufti Negeri Kedah, Sahibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil Awang dan Timbalan Mufti Negeri Kedah, Sahibus Fadhilah Syeikh Marwazi Dziyauddin.
Mohd Yusnaidi berkata, pertemuan itu menjadi wadah untuk memperkenalkan pelbagai peranan, fungsi serta inisiatif yang digerakkan oleh Pusat Islam UUM dalam memperkasakan pendidikan al-Quran, pembangunan sahsiah pelajar dan pengukuhan penghayatan Islam dalam kalangan warga universiti.
Selain berkongsi perkembangan semasa institusi, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu berkaitan hal ehwal Islam, termasuk usaha memperkasakan agenda dakwah, pembangunan modal insan dan pembentukan generasi mahasiswa yang berilmu, berakhlak serta berdaya saing.

Delegasi Pusat Islam UUM juga berpeluang mendapatkan pandangan, nasihat dan bimbingan daripada Mufti Negeri Kedah berhubung beberapa perkara yang berkaitan dengan pengurusan serta pelaksanaan program hal ehwal Islam di peringkat universiti.
Mohd Yusnaidi berkata, kunjungan tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan institusi antara Pusat Islam UUM dan Jabatan Mufti Negeri Kedah, di samping membuka ruang kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan.
“Pusat Islam UUM amat menghargai kesediaan Sahibus Samahah Dato’ Mufti dan pihak Jabatan Mufti Negeri Kedah menerima kunjungan ini. Pandangan serta nasihat yang dikongsikan amat bernilai dalam memperkukuh pelaksanaan agenda hal ehwal Islam di universiti.

“Kami berharap hubungan yang terjalin ini dapat terus diperkasakan melalui pelbagai bentuk kerjasama strategik demi manfaat warga universiti dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa panduan daripada institusi mufti amat penting dalam memastikan setiap inisiatif dan program yang dilaksanakan sentiasa selari dengan prinsip syariah, dasar semasa serta keperluan masyarakat.
Kunjungan hormat tersebut diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata dan rakaman gambar kenangan sebagai simbol penghargaan serta komitmen bersama dalam memperkukuh sinergi antara Pusat Islam UUM dan Jabatan Mufti Negeri Kedah ke arah memartabatkan syiar Islam serta pembangunan ummah yang lebih lestari.



