Ruang dan Koordinat jadi teras eksplorasi murid dalam Jelajah Angkasa
Gambar Prof. Madya Dr. Sharmila Karim
PADANG BESAR, 21 Julai 2025: Aktiviti ketiga bagi program Travelog MaSa (Matematik dan Sains) telah berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat dan keterujaan melalui aktiviti bertemakan Jelajah Angkasa, yang memberi tumpuan kepada penerapan konsep Ruang dan Koordinat dalam suasana pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.
Aktiviti 3 juga penutup tirai bagi program Travelog Masa telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Rimba Mas di bawah Pelaksanaan Kitaran 1.5 Program STI 1003 tajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Aktiviti ini rentetan dari kesinambungan dari aktiviti kedua iaitu bina roket dan pelancar yang mana saintisnya adalah Prof. Madya Dr. Sharmila Karim, dengan dua rakannya, Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid dan Yuhaniz Ahmad berserta beberapa fasilitator dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Dr. Sharmila berkata, dalam aktiviti Jelajah Angkasa, murid-murid ditugaskan menyelesaikan pelbagai misi berpandukan penyelesaian soalan berkoordinat yang diberikan.
Menurutnya, mereka perlu mengenal pasti titik-titik lokasi tertentu di atas grid sistem koordinat dan menampal pelekat (stiker) pada kedudukan yang betul berdasarkan soalan bertemakan angkasa. Setiap koordinat mewakili ‘lokasi penting’ seperti stesen tenaga suria, teleskop angkasa dan portal warp – menjadikan aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi penuh nilai ilmu.
Pendekatan ini menggabungkan pembelajaran kontekstual, visualisasi ruang dan pemikiran logik, di mana pelajar dapat mengalami sendiri bagaimana konsep koordinat diaplikasikan dalam ruang 2 dimensi.
Guru Besar SK Felda Rimba Mas, Zalida Ismail teruja dengan program STEM yang dilaksanakan oleh penyelidik dari SQS, UUM di bawah penajaan MOSTI, dan beliau sendiri juga telah mula terlibat dengan program STEM pada tahun 2024.
“Saya berharap agar program ini dapat diteruskan sebagaimana merealisasikan hasrat MOSTI untuk melahirkan sebanyak 60 peratus penyertaan pelajar dalam aliran STEM di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, merujuk kepada nisbah 60:40 aliran sains tulen berbanding bukan STEM,” katanya.
MOSTI ingin memastikan pendidikan STEM tidak hanya bergantung pada teori, tetapi berkembang menjadi pengalaman langsung dan berterusan yang merangsang minat serta membina bakat saintifik sejak sekolah rendah.
Hasrat utama ini adalah untuk melahirkan golongan muda yang berdaya saing dalam era teknologi, sekali gus menyokong agenda Malaysia menjadi negara maju berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
Kesimpulannya, Travelog MaSa diilhamkan berasaskan gabungan nama daripada subjek Matematik dan Sains, dirangka khusus untuk menunjukkan bahawa kedua-dua bidang ini saling melengkapi dalam meneroka dunia nyata bergantung kepada ruang dan masa.
Sesungguhnya, seperti yang pernah dikatakan oleh seorang ilmuwan “Mathematics is the Mother of Sciences“. Ini menggambarkan betapa pentingnya asas matematik dalam memahami pelbagai fenomena sains dan teknologi. – Rohaiza Zakaria