Education

Rugi tak buat korban

SINTOK, 4 Jun 2025: Setiap kali tiba Zulhijah, suasana jadi meriah. Masjid mula sibuk. Umat Islam seluruh dunia bersiap siaga untuk hari yang agung iaitu Hari Raya Aidiladha. Tapi dalam kehangatan ini, masih ada yang memandang ibadah korban sebagai perkara biasa-biasa. Sedangkan hakikatnya, kalau kita benar-benar faham nilainya, rugi besar kalau tak buat korban.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tiada suatu amalan anak Adam pada hari Nahar yang lebih disukai oleh Allah daripada menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya. Dan sesungguhnya darah korban itu akan sampai kepada keredhaan Allah sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, relakanlah (korban itu) dengan hati yang lapang.”

(Hadis Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah)

Ustaz Syahril Fazli Mat Hussain dari Pusat Islam UUM berkata, ibadah korban bukan sekadar menyembelih haiwan.

“Ia adalah tanda cinta kita kepada Allah. Ketika kita hulur duit, beli bahagian lembu atau kambing, niatkan semata-mata kerana Allah,  saat itu, kita sedang menyerahkan sebahagian dari diri kita dan harta kita  kepada-Nya,” ujarnya.

Nabi SAW bersabda:

“Tidak ada amalan yang paling disukai oleh Allah pada hari-hari tasyrik selain menyembelih korban.”

(Riwayat Tirmizi)

Malah, darah haiwan itu belum sempat jatuh ke bumi, pahala sudah ditulis di sisi Allah.

Korban hanya datang setahun sekali. Jika kita mampu, tetapi memilih untuk tidak melakukan korban, kita telah mensia-siakan peluang keemasan yang Allah kurniakan. Berapa ramai di luar sana yang ingin melaksanakan korban, tetapi tidak mampu dari segi kewangan? Maka, rugi besar jika tidak ambil peluang ini.

“Kalau kita sihat, cukup makan, cukup pakai, ada simpanan takkan nak tunggu “lebih mampu”? Sedangkan korban bukan perlu tunggu kaya, hanya perlu sedikit pengorbanan dan keikhlasan.

“Bila kita buat korban, kita bukan hanya “buat untuk diri sendiri”. Kita sedang jadi sebab orang lain merasa nikmat. Ada orang miskin yang hanya setahun sekali makan daging, itulah dari korban yang kita beri.

“Apa perasaan bila tengok anak-anak kecil tersenyum sambil pegang daging korban yang kita sumbang? Itulah pahala yang tak nampak dengan mata, tapi besar nilainya di sisi Allah.

“Ada orang ingat korban ini untuk yang berduit saja. Salah. Zaman sekarang cukup mudah, ada banyak program korban berkumpulan, boleh kongsi satu bahagian lembu. Malah ada juga program korban luar negara, harga jauh lebih rendah,” katanya.

Sebenarnya kita belajar erti pengorbanan sebenar. Nabi Ibrahim sanggup korbankan anaknya, Nabi Ismail sanggup dikorbankan kerana perintah Allah. Tapi Allah tak minta kita korbankan anak. Cuma minta sedikit dari harta kita, sedikit dari nikmat yang kita sayang, itupun semuanya pemberian daripada Allah. Kalau itu pun kita tak sanggup, di mana letaknya cinta kita kepada Allah?

Korban bukan hanya tentang haiwan yang disembelih. Ia tentang hati yang rela menyerah demi cinta kepada Allah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button