Education

Sains Kuantitatif dan Sains Forensik: UUM–USM teroka kolaborasi penyelidikan strategik

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Nazihah Ahmad

SINTOK, 6 Ogos 2026: Kumpulan Penyelidikan Performance Evaluation, Research, and Optimization for Resource Management (PERFORM) dan Literacy & Numeracy Empowerment (LiNE), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Perkongsian Ilmu Berkaitan Kaedah Kuantitatif dan Data Analitik dalam Penyelidikan Forensik di Bilik Serba Guna (BSG), SQS.

Program tersebut menampilkan dua pensyarah dan penyelidik daripada Program Sains Forensik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan iaitu ChM. Dr. Wan Nur Syuhaila Mat Desa dan ChM. Dr. Dzulkiflee Ismail.

ChM. Dr. Wan Nur Syuhaila menyampaikan perkongsian bertajuk Introduction to Forensic Science yang memberikan pendedahan mengenai asas, skop dan perkembangan semasa dalam bidang sains forensik. Perkongsian tersebut turut mengetengahkan peranan sains forensik dalam proses pemeriksaan, analisis dan pentafsiran bukti secara saintifik.

Beliau juga turut memperkenalkan portfolio barisan penyelidik sains forensik USM lain dgn kepakaran masing-masing sebagai langkah mencuit minat dan potensi kolaborasi rentas disiplin.

Sementara itu, ChM. Dr. Dzulkiflee menerusi pembentangan bertajuk From Mystery to Decision: A Quantitative Perspective on Forensic Science membincangkan kepentingan pendekatan kuantitatif dan analitik data dalam menyokong penyelidikan serta proses pembuatan keputusan dalam bidang forensik.

Menurutnya, integrasi antara sains forensik dengan sains kuantitatif berupaya meningkatkan ketepatan dan kebolehpercayaan hasil analisis.

“Integrasi kaedah kuantitatif dan analitik data dalam penyelidikan forensik berupaya memperkukuh proses pentafsiran bukti secara sistematik dan berasaskan data. Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengenal pasti pola serta mengukur tahap ketidakpastian, malah menyokong pembuatan keputusan yang lebih tepat, sahih dan boleh dipertanggungjawabkan.

“Sehubungan itu, kolaborasi antara bidang sains forensik dengan sains kuantitatif amat signifikan dalam memperkasa kualiti serta impak penyelidikan forensik,” katanya.

Program ini menjadi platform kepada ahli akademik dan penyelidik untuk memperoleh pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai penyelidikan forensik, di samping meneroka potensi penerapan kaedah kuantitatif dan analitik data dalam bidang tersebut.

Penganjuran program ini turut membuka ruang kepada pertukaran kepakaran, penjanaan idea penyelidikan rentas disiplin dan pembentukan jaringan kolaborasi antara SQS, UUM dengan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM.

Kolaborasi tersebut diharapkan dapat direalisasikan melalui pelaksanaan penyelidikan bersama, permohonan geran, penerbitan ilmiah, penyeliaan pelajar dan mobiliti penyelidikan pada masa hadapan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button