SAPSP UUM DAN YAYASAN RAJA SHAMRI TEROKA PENERBITAN BUKU KESUKARELAWANAN DAN GERAKAN KEMANUSIAAN
Gambar dan Berita oleh : Prof. Madya Dr. Norruzeyati Che Mohd Nasir
KOTA BAHRU, 4 November 2026 – Pengalaman dalam gerakan kemanusiaan menyimpan nilai dan pengajaran yang wajar diwariskan kepada generasi muda dan masyarakat. Berteraskan hasrat itu, penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama pegawai UUM Press mengadakan pertemuan dengan Y.M. Kol. Bersekutu (PA) Hj. Raja Shamri bin Raja Husin, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Raja Shamri bagi meneroka potensi penerbitan sebuah Coffee Table Book (Buku Mewah) tentang perjalanan dan sumbangan beliau dalam kesukarelawanan serta gerakan kemanusiaan.

Pertemuan tersebut disertai Prof. Madya Dr. Norruzeyati Che Mohd Nasir selaku ketua penyelidik dan penulis dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Encik Asrol Anuar bin Ramli, Ketua Seksyen UUM Press, serta Encik Zuraizee Zulkifli, Pereka UUM Press.
Penerbitan yang dicadangkan ini berpotensi merakamkan perjalanan gerakan kemanusiaan dan nilai yang menggerakkannya iaitu keprihatinan terhadap masyarakat, semangat kesukarelawanan serta kekuatan kerjasama antara ahli pasukan. Rakaman tersebut dapat menjadikan pengalaman lapangan sebagai sumber pengetahuan dan inspirasi yang terus relevan untuk rujukan generasi akan datang.

Melalui pendekatan yang bersifat dokumentari dan visual, buku ini berpotensi mengetengahkan sumbangan individu serta sukarelawan dalam usaha kemanusiaan. Pada masa yang sama, penerbitan ini dapat memperluas perbincangan tentang kepimpinan sosial dan peranan gerakan kemanusiaan dalam membina masyarakat yang prihatin serta berdaya tahan.

Dari sudut akademik, penerbitan ini berpotensi menjadi bahan bacaan dan rujukan dalam bidang kerja sosial, kepimpinan sosial, kesukarelawanan dan pembangunan masyarakat. Bagi masyarakat umum, dokumentasi tersebut dapat membuka ruang untuk mengenali nilai serta pengalaman yang membentuk sesebuah gerakan kemanusiaan.
Pertemuan itu menjadi langkah awal bagi UUM dan Yayasan Raja Shamri meneliti hala tuju serta potensi penerbitan berkenaan. Perbincangan ini turut membuka ruang untuk menghimpunkan pengalaman gerakan kemanusiaan sebagai dokumentasi yang bernilai kepada bidang akademik dan masyarakat.



