SBM gerakkan Pelan Strategik 2025-2030
Berita dan gambar Azam Arni Mohd Noor
PULAU PINANG, 19 Mei 2025: Warga akademik Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia telah menyertai Bengkel Perancangan Pelan Tindakan Strategik dan Peningkatan Penyeliaan Pascasiswazah SBM 2025 yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Bayview Beach Resort, baru-baru ini.
Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad berkata, bengkel ini merupakan platform penting untuk menyelaras Pelan Strategik SBM 2025–2030 yang bakal menjadi kompas utama dalam merealisasikan visi SBM sebagai sebuah Top Business School di rantau ini.
Menurutnya, sepanjang program, peserta terlibat secara aktif dalam sesi pembentangan, perbincangan strategik dan refleksi kendiri yang dijalankan secara intensif dan tersusun.
Menyerlahkan nilai intelektual bengkel ini, sesi fasilitasi telah diperkasakan oleh tiga tokoh akademik tersohor SBM sendiri iaitu Prof. Emeritus Dr. Rushami Zien Yusoff, Prof. Dr. Sany Sanuri Mohd. Mokhtar, dan Prof. Dr. Salniza Md. Salleh.
Ketiga-tiga mereka telah mencetuskan perbincangan bernas menerusi perkongsian pandangan strategik yang diterjemahkan kepada cadangan pelan tindakan konkrit, antaranya penetapan indikator kecemerlangan secara berfasa dan penambahbaikan sistem sokongan penyelidikan, selaras dengan aspirasi menjadikan SBM sebuah Top Business School yang mampu menarik minat pelajar pascasiswazah bukan sahaja dari Asia, malah dari seluruh dunia.
Bagi mencipta keseimbangan antara kerja dan rehat, bengkel turut diserikan dengan aktiviti sukan rakyat dan sesi team building dalam suasana santai tetapi bermakna. Aktiviti ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah berjaya menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan pensyarah dari pelbagai jabatan.
Dengan semangat yang diperbaharui dan hala tuju yang lebih jelas, para peserta pulang dengan iltizam baharu untuk terus menyumbang kepada pelaksanaan pelan strategik, dan bersama-sama mengorak langkah ke arah kecemerlangan global.