SCIMPA UUM sertai Bootcamp DICE 4.0 Fasa 1 di UniSZA
Berita dan gambar Dr. Abdul Syafiq Bahrin
GONG BADAK, 4 Ogos 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghantar dua kumpulan pelajar menyertai Bootcamp Fasa 1 Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, Terengganu selama empat hari pada 31 Julai lalu.
Program bertaraf antarabangsa ini merupakan platform latihan dan pertandingan yang menghimpunkan pelajar serta mentor daripada pelbagai institusi pengajian tinggi bagi membangunkan produk kreatif berpotensi dikomersialkan melalui penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

SCIMPA diwakili oleh dua penyertaan iaitu kategori VR/AR/MR di bawah bimbingan Dr. Abdul Syafiq Bahrin dan kategori Animasi Pendek di bawah bimbingan Dr. Mohd Fitri Yusof.
Bagi Fasa 1, wakil SCIMPA yang hadir ialah Dr. Abdul Syafiq bersama Muhammad Harris Idzham Mohd Hanley, Muhammad Arif Fikri Fauzi dan Muhamad Zariff Sazwan Mohd Hapizi, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (BCIM) Semester 4 daripada modul pilihan Animasi Kreatif.
Sepanjang bootcamp, peserta mengikuti pelbagai aktiviti termasuk bengkel amali Generative AI, sesi perkongsian bersama pemain industri, lawatan warisan, pembangunan idea projek, taklimat pertandingan serta pendedahan kepada aspek pembangunan syarikat pemula, harta intelek dan pengkomersialan produk kreatif.
Pengisian ini memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di SCIMPA dalam suasana industri sebenar, di samping mengukuhkan jaringan profesional bersama peserta, mentor dan rakan industri daripada pelbagai institusi.

Dekan SCIMPA, Prof. Madya Gs. Dr. Ruzinoor Che Mat berkata, penyertaan dalam DICE 4.0 merupakan platform terbaik untuk pelajar menguji idea serta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di SCIMPA dalam persekitaran industri sebenar.
“Program seperti ini menjadi platform terbaik untuk pelajar membina rangkaian profesional, memperoleh maklum balas daripada pakar industri, serta memahami proses pembangunan produk kreatif sehingga ke peringkat pengkomersialan.
“Penyertaan ini juga selaras dengan komitmen SCIMPA dalam melahirkan graduan yang kreatif, inovatif dan berdaya saing, di samping memiliki nilai keusahawanan yang diperlukan oleh industri kreatif masa kini,” katanya.
Selepas tamat Bootcamp Fasa 1, kedua dua pasukan SCIMPA akan meneruskan Fasa 2 iaitu pembangunan projek dan sesi bimbingan bersama pihak industri bermula 4 Ogos sebelum menyertai penjurian serta pameran akhir DICE 4.0 yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 19 November 2026 di Putrajaya International Convention Centre (PICC) sempena Festival Idea Putrajaya.



