SCITECH4U STEM Camp MOSTI beri pendedahan awal kepada dunia STEM
SINTOK: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah berjaya menganjurkan program SCITECH4U STEM CAMP MOSTI 2024, baru-baru ini.
Program sehari ini melibatkan 100 pelajar Tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Darulaman. guru-guru pengiring, fasilitator dan urusetia dari SQS.
Dekan, Prof. Dr Haslinda Ibrahim berkata, tujuan utama program ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah rendah mengenai dunia STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik).
Beliau berharap pendedahan aktiviti mengenai dunia STEM ini dari peringkat awal persekolahan mampu mencetus minat kepada pelajar untuk terus mendalami ilmu STEM ini.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk “Misteri Nombor Perdana” yang memupuk minat pelajar terhadap matematik, serta “Melodi Air & Lontaran Katapult” yang menggabungkan unsur sains dan kejuruteraan melalui aktiviti yang menyeronokkan. Aktiviti-aktiviti ini direka bentuk untuk menarik minat pelajar terhadap bidang STEM dengan cara yang kreatif dan interaktif.
Aktiviti Melodi Air mengasah kebolehan dan kreativiti pelajar untuk membina kincir air menggunakan bahan-bahan yang disediakan, manakala aktiviti kemuncak iaitu Lontaran Katapult memerlukan pelajar membina katapult untuk melontar buah batu seremban sejauh mungkin, memberi mereka pengalaman praktikal dalam konsep fizik seperti daya dan gerakan.
Secara keseluruhan, SCITECH4U STEM CAMP MOSTI 2024 berjaya memberikan pengalaman bermakna kepada para peserta dalam menerokai dunia STEM di luar bilik darjah dengan cara yang menyeronokkan dan mendidik.
Program SCITECH4U STEM CAMP MOSTI 2024 diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah yang telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Negeri Kedah/Perlis TNB, Wan Ishak Soed kepada pemenang untuk setiap aktiviti. – Teo Zhi Yin dan Moganapirya Ponniraja