Se-Budi Hasanah Mini Community Day semai aspirasi 2050 bersama komuniti Pulau Tuba
Gambar CEDI
LANGKAWI, 3 September 2025: Pulau Tuba mencipta sejarah dengan penganjuran Mini Community Day di bawah SE-Budi Hasanah Program (Community-Based Language Learning – CBLL) yang menghimpunkan hampir 2,000 peserta terdiri daripada pelajar, guru, ibu bapa, komuniti tempatan, serta rakan strategik.
Antara peserta termasuk 250 pelajar sekolah menengah dan rendah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi, Pulau Tuba dan Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Chempedak, menjadikan program ini antara acara pendidikan komuniti terbesar pernah diadakan di pulau tersebut.
Program ini dilaksanakan dengan sokongan Geran Khas Hasanah 2024 (Hasanah Special Grant – HSG 5.0) bernilai RM361,000.00, hasil kerjasama Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan Malaysia, dengan pelaksanaan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui UUM Leads Sdn. Bhd.
Majlis perasmian turut disempurnakan dengan penuh simbolik oleh Ketua Eksekutif Sektor Pendidikan Yayasan Hasanah, Dr. Nur Anuar Abdul Muthalib, bersama wakil dari UUM Leads Sdn. Bhd., Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad (KOPTUBAS) dan SMK Langkawi Pulau Tuba.
Acara kemuncak ialah Expressive Corner SE-Budi Canvas: A Vision for Pulau Tuba 2050, di mana pelajar dan komuniti setempat melakar impian serta aspirasi mereka untuk Pulau Tuba di atas satu kanvas besar – menjadikannya simbol penyatuan generasi muda dan masyarakat dalam merangka masa depan bersama.
Dr. Nur Anuar berkata, mereka percaya pendidikan yang berpaksikan komuniti, seperti yang dijalankan di Pulau Tuba ini, mampu membawa perubahan yang sebenar.
Menurutnya, aspirasi yang dilakar pelajar dan penduduk melalui kanvas 2050 adalah bukti bahawa bahasa, keusahawanan sosial dan jati diri apabila digabungkan, boleh menjadi pemangkin transformasi.
Selain itu, Mini Community Day turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk perkongsian ilmu, tazkirah, persembahan pelajar, permainan tradisional, pameran komuniti, serta kerjasama pelajar dengan enam perniagaan tempatan menerusi pendekatan Design Thinking.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif CEDI UUM, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) pula menegaskan, “Program ini membuktikan bagaimana universiti boleh berganding bahu dengan komuniti untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja mahir bahasa, tetapi juga mempunyai daya tahan dan kesedaran sosial. Inilah makna sebenar pendidikan yang lestari – membina insan dan komuniti serentak.”
Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada pihak sekolah melalui SMK Langkawi Pulau Tuba yang diketuai oleh Pemangku Pengetua, Aizal Azri Zakaria, serta SK Lubuk Chempedak.
Kehadiran barisan penyelidik UUM iaitu dan Fatin Athirah Fadzillah (Ketua Penyelidik), Prof. Dr. Abdul Malek Abdul Karim, Prof. Dr. Nurahimah Mohd Yusoff, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rafie, Prof. Madya Dr. Mohd Nizho Abdul Rahman, Prof. Madya Dr. Rafizah Mohd Rawian dan Nurul Akmal Ab Halim turut menambah nilai akademik kepada penganjuran ini.
Dengan tema “Di Mana Bahasa Bertemu Rezeki, Resilien Memperkukuh Jati Diri”, SE-Budi Hasanah kini menjadi model pembangunan pendidikan berasaskan komuniti, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani untuk membina masyarakat yang inklusif, progresif, dan berdaya tahan. – Akmal Ahlami Md Rozai