SE-Budi Hasanah Siri Ketiga perkasa bahasa, jati diri dan keusahawanan sosial di Pulau Tuba
Gambar Pasukan Pelajar SE-Budi Hasanah
LANGKAWI, 13 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan usaha mendekatkan pendidikan kepada komuniti luar bandar menerusi pelaksanaan Program SE-Budi Hasanah Siri Ketiga yang berlangsung pada 11 hingga 12 Julai lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi, Tuba.
Ketua Penyelidik Program, Fatin Athirah Fadzillah berkata, program yang merupakan sebahagian daripada pelaksanaan sebanyak 15 sesi bersemuka sepanjang tahun ini bertujuan untuk memperkasa tahap penguasaan Bahasa Inggeris pelajar kepada tahap CEFR yang lebih tinggi, di samping membina jati diri dan kesedaran sosial pelajar melalui modul pembelajaran berasaskan komuniti.
Menurutnya, inisiatif ini dibiayai sepenuhnya oleh Hasanah Special Grant (HSG 5.0) bernilai RM361,000 dan dikendalikan bersama oleh Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) serta Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), UUM dengan sokongan daripada UUM Leads Sdn. Bhd.
Bertemakan “Haiya ‘Ala Falah” (Marilah Menuju Kejayaan), sesi kali ini memberi fokus kepada pembangunan jati diri pelajar, iaitu keupayaan untuk bangkit semula selepas menghadapi cabaran serta membina keberanian dan keyakinan diri.
Melalui modul penceritaan “Ahmad’s Challenge”, pelajar digalakkan untuk berkongsi pengalaman, menyuarakan pandangan, dan menyedari bahawa kejayaan tidak bermakna menjadi sempurna, tetapi berani untuk mencuba. Program ini melibatkan 220 pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 yang mengikuti bengkel selama dua hari bersama fasilitator pelajar-mentor dan tenaga pengajar UUM.
Komponen pembelajaran Bahasa Inggeris diperkasakan melalui pendekatan Language Arts yang membolehkan pelajar meneroka kosa kata baharu dan struktur ayat secara kreatif. Antara aktiviti utama ialah penghasilan motivational bookmarks yang menggabungkan kosa kata positif dan frasa inspirasi dalam Bahasa Inggeris. Aktiviti ini bukan sahaja mengukuhkan kemahiran bahasa, tetapi juga memberi ruang kepada pelajar menzahirkan nilai diri dan semangat dalam bentuk ekspresi seni. Hasil kerja pelajar kemudiannya dipamerkan dalam sesi perkongsian terbuka yang turut mencerminkan keberanian pelajar untuk bercakap di hadapan khalayak, selaras dengan semangat resiliens yang diterapkan.
Sementara itu, Ketua Penulis Modul Program, Nurul Akmal Ab Halim berkata, di samping sesi pengajaran, pihak UUM turut berpeluang meninjau fasiliti pembelajaran sedia ada di SMK Langkawi, Tuba dan mengadakan sesi libat urus bersama pentadbir sekolah dan guru-guru Bahasa Inggeris. Perbincangan yang berlangsung secara profesional menyentuh pelbagai aspek termasuk potensi kolaborasi jangka panjang, pelibatan ibu bapa, pembangunan modul bersama serta penyertaan pelajar dalam aktiviti luar bilik darjah yang relevan dengan komuniti setempat.
“Salah satu elemen paling signifikan dalam pelaksanaan program ini ialah perancangan untuk membawa pelajar ke kawasan kampung sekitar Pulau Tuba bagi melaksanakan projek mini keusahawanan sosial. Dalam projek ini, pelajar akan mengenal pasti isu komuniti, merancang penyelesaian dan membentangkan idea dalam Bahasa Inggeris yang mudah difahami.
“Pendekatan ini menyepadukan kemahiran bahasa dengan nilai kepimpinan, empati dan tanggungjawab sosial. Ia selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), dan matlamat Sustainable Development Goals (SDG) khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 8 (Pekerjaan Layak & Pertumbuhan Ekonomi) dan SDG 11 (Komuniti Inklusif dan Selamat),” katanya.
Melalui pendekatan Community-Based Language Learning (CBLL) yang berteraskan tiga prinsip utama — memperkasa (empower), melibatkan (engage), dan mengangkat (elevate). Program SE-Budi Hasanah tidak sekadar mendidik, malah memposisikan pelajar sebagai agen perubahan yang berpotensi menyumbang semula kepada komuniti mereka.
Dengan sokongan berterusan daripada Yayasan Hasanah, Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi, Koperasi Kepulauan Tuba dan Selat (KOPTUBAS) serta kolaborator tempatan, UUM yakin bahawa Pulau Tuba mampu menjadi model pendidikan komuniti yang mampan dan inklusif untuk masa depan pendidikan luar bandar di Malaysia. – Nur Alya Ariffah Mohd Ruzlan