SEFB sedia bantu tingkatkan kemahiran kewangan pegawai kerajaan negeri Selangor
Berita dan gambar M. Khairy Mukhtaruddin
SHAH ALAM, 28 April 2025: Delegasi daripada Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Dekannya, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, telah mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, baru-baru ini.
Dr. Bakti Hasan berkata, kunjungan ini bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara UUM dan kerajaan negeri Selangor, selain membincangkan tawaran SEFB untuk memperkenalkan Global Executive Advance Programme kepada kakitangan kerajaan negeri.
Menurutnya, program berimpak tinggi ini turut melibatkan kerjasama strategik dengan pihak kerajaan Jepun.
“SEFB ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr. Ahmad Fadzli atas kesudian menerima kunjungan delegasi SEFB.
“Saya juga yakin bahawa SEFB mampu memberikan sumbangan akademik yang berkesan bagi menyokong agenda pembangunan kompetensi di peringkat negeri,” katanya.
Dr. Ahmad Fadzli menyambut baik tawaran tersebut dan menyatakan hasrat agar SEFB dapat memperkasa pegawai-pegawai kerajaan negeri Selangor dengan kemahiran kewangan yang lebih kukuh.
Beliau turut mencadangkan supaya program yang dirangka dapat disesuaikan mengikut keperluan sosioekonomi di sembilan daerah negeri Selangor.
Kunjungan ini menandakan permulaan baharu kerjasama strategik yang berpotensi memanfaatkan kedua-dua pihak dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.