Education

SEFB teroka kerjasama Program Khas Sarjana Sains Ekonomi bersama Kementerian Ekonomi tingkat kompetensi pegawai

Berita dan gambar M. Khairy Mukhtaruddin

PUTRAJAYA, 13 Julai 2026: Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid telah mengadakan sesi taklimat bersama Kementerian Ekonomi bagi membentangkan cadangan pelaksanaan Program Khas Sarjana Sains Ekonomi yang disasarkan kepada pegawai kementerian.

Sesi tersebut telah dihadiri oleh Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Yuslindal Yaakub dan Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Noraini Ahmad.

Pembentangan telah disampaikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) SEFB, Dr. Diara Md. Jadi yang menerangkan struktur program, kaedah pembelajaran fleksibel serta manfaat program dalam memperkukuh kompetensi dan pembangunan profesional pegawai.

Dalam sesi perbincangan, Yuslindal menyatakan bahawa cadangan kohort khas tersebut merupakan satu inisiatif yang amat menarik kerana menyediakan peluang kepada pegawai Kementerian Ekonomi untuk melanjutkan pengajian secara lebih fleksibel tanpa menjejaskan komitmen terhadap tugas hakiki.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak kementerian akan mempertimbangkan penggunaan dana SUADAYA di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai salah satu mekanisme pembiayaan bagi program berkenaan.

Sementara itu, Noraini menegaskan bahawa Kementerian Ekonomi sememangnya telah menjalinkan hubungan kerjasama yang erat dengan UUM, khususnya dalam bidang penyelidikan.

Beliau berharap kerjasama tersebut dapat diperluaskan menerusi pelaksanaan program akademik yang mampu meningkatkan kapasiti modal insan kementerian.

Sesi taklimat ini mencerminkan komitmen SEFB UUM dalam menawarkan program akademik yang relevan dengan keperluan sektor awam, sekali gus memperkukuhkan jaringan strategik antara universiti dan Kementerian Ekonomi dalam usaha membangunkan tenaga kerja yang berpengetahuan, kompeten dan berdaya saing.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button