SEFB, UUM dan PSU Kampus Trang, Thailand perkukuh jalinan hubungan strategik antarabangsa
Gambar SEFB
SINTOK, 5 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), telah menjadi tuan rumah kepada delegasi seramai 32 staf dari Fakulti Perdagangan dan Pengurusan, Universiti Prince of Songkla (PSU), Kampus Trang, Thailand.
Program lawatan akademik PSU Trang yang bertemakan “Advancing the Faculty of Commerce and Management Toward Excellence” telah berlangsung selama tiga hari dua malam bermula dari 22 hingga 24 April lalu.
Delegasi PSU diketuai oleh Dekan Fakulti Perdagangan dan Pengurusan, Penolong Profesor Dr. Parichat Maneemai, disambut mesra oleh Dekan SEFB, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, bersama barisan pengurusan SEFB.
Sepanjang program tersebut, SEFB telah menyusun pelbagai sesi perbincangan dan perkongsian ilmiah melibatkan topik-topik seperti pembangunan kurikulum serta pengurusan pengajaran dan pembelajaran, galakan penyelidikan dan kerjasama akademik, keusahawanan pelajar, program pertukaran pelajar dan pensyarah, serta aktiviti pelajar bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran bertaraf antarabangsa.
SEFB juga turut menyelaras dan menjemput wakil-wakil daripada pusat pengajian lain untuk berbincang dengan delegasi PSU Trang bagi program-program akademik yang sama dan setara dengan UUM.
Dr. Bakti berkata, SEFB amat berbesar hati menerima kunjungan akademik dari PSU Kampus Trang.
Menurutnya, lawatan ini membuka ruang yang luas untuk kerjasama dua hala yang strategik dan berterusan, terutamanya dalam aspek kurikulum, penyelidikan dan pertukaran kepakaran. Ia selaras dengan aspirasi UUM ke arah pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
Delegasi turut menyertai acara Night Fun Run yang diadakan di Stadium UUM sempena SEFB Fest 2025. Acara ini melibatkan penyertaan lebih 500 peserta, termasuk penyertaan antarabangsa dari PSU Thailand.
Di samping itu, mereka juga berpeluang melawat beberapa fasiliti utama universiti seperti Varsity Mall, Kelab Golf, U-Assist, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, dan Muzium Pengurusan UUM untuk mengenali sistem sokongan pelajar dan pengurusan kampus.
Sementara itu, Dr. Parichat Maneemai berkata, lawatan ini sangat berjaya dan amat bermakna buat mereka.
Menurutnya, segala objektif program telah tercapai dengan baik khususnya dalam membina jaringan akademik, bertukar pandangan profesional, serta menjelajah peluang kerjasama masa depan bersama UUM.
“Kami berharap hubungan erat ini akan diteruskan dalam pelbagai bentuk kolaborasi selepas ini,” katanya.
Lawatan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala antara PSU dan UUM, malah memperkukuh jaringan kerjasama serantau dalam usaha mempertingkat kualiti pendidikan tinggi dan pembangunan akademik secara mampan. – Khairul Anuar Adnan