SEFB UUM perkukuh jaringan antarabangsa di ICORE 2026
Berita dan gambar Prof. Madya Dr Shazida Jan Mohd Khan dan Prof. Madya Dr. Roslina Kamarudin
LOMBOK, 21 Julai 2026: Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda pengantarabangsaan apabila seramai 10 staf akademik menyertai The 8th International Conference on Economics (ICORE) 2026 yang berlangsung di Lombok, Indonesia.

Daripada jumlah tersebut, enam pensyarah telah membentangkan hasil penyelidikan secara dalam talian, manakala empat lagi hadir secara bersemuka bagi membentangkan kertas kerja penyelidikan serta menyertai pelbagai aktiviti akademik dan kerjasama strategik antarabangsa.
Persidangan kali ini turut menyaksikan Prof. Madya Dr. Roslina Kamaruddin diberi penghormatan sebagai pengucaptama, manakala Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan dijemput sebagai Penceramah Antarabangsa dalam program Local Communities Services, yang mengetengahkan perkongsian mengenai pembangunan komuniti, keusahawanan sosial serta kelestarian ekonomi.
ICORE merupakan persidangan antarabangsa yang telah dianjurkan secara berterusan sejak tahun 2013 hasil kerjasama strategik antara Universitas Jenderal Soedirman (UNSOED), Hebei University, China dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Persidangan ini menjadi platform penting yang menghimpunkan ahli akademik, penyelidik dan pengamal industri dari pelbagai negara bagi berkongsi penemuan penyelidikan, memperkukuh jaringan akademik serta meneroka peluang kolaborasi antarabangsa.

Majlis perasmian ICORE 2026 telah berlangsung dengan penuh meriah di Aruna Senggigi Resort & Convention, Lombok dan diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh pelajar Universitas Mataram (UNRAM) yang mempamerkan keunikan seni dan warisan budaya Indonesia. Majlis turut disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube, membolehkan penyertaan dan tontonan daripada komuniti akademik antarabangsa.
Selain sesi pembentangan penyelidikan, delegasi UUM turut mengadakan mesyuarat kerjasama strategik bersama beberapa universiti di Indonesia dan China.
Hasil perbincangan tersebut menyaksikan pemeteraian Letter of Intent (LOI) sebagai asas kepada kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan bersama, mobiliti akademik, pertukaran staf dan pelajar serta penganjuran program pembangunan bakat.
Institusi yang terlibat dalam pemeteraian LOI ialah:
- Universitas Jenderal Soedirman (Indonesia)
- Hebei University, China
- Universitas Mataram (Indonesia)
- Universitas Gadjah Mada (Indonesia)
- Universitas Pekalongan (Indonesia)
- Universitas Sebelas Maret (Indonesia)
- Universitas Jenderal Achmad Yani (Indonesia)
- Universitas Siliwangi (Indonesia)
- Universitas Andalas (Indonesia)
Dalam perkembangan yang sama, 10 institusi pengajian tinggi di Indonesia telah menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan UUM dalam bidang akademik, penyelidikan serta pelaksanaan pelbagai program pembangunan pelajar.

Kerjasama ini dijangka menyokong aspirasi Pelan Pendidikan Tinggi Nasional (PPTN) 2026–2035, khususnya dalam memperkasakan pengantarabangsaan pendidikan tinggi, meningkatkan mobiliti akademik serta membentuk graduan yang memiliki jati diri, kompetensi global dan kebolehpasaran yang tinggi.
Persidangan turut mengumumkan bahawa ICORE 2028 akan dianjurkan di China, sekali gus membuka ruang yang lebih luas kepada pengukuhan jaringan penyelidikan dan kerjasama akademik antara universiti yang terlibat.
Penyertaan aktif Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan dalam ICORE 2026 membuktikan komitmen berterusan fakulti dalam memperkukuhkan budaya penyelidikan, memperluas jaringan antarabangsa serta meningkatkan keterlihatan Universiti Utara Malaysia di persada global.
Diharapkan kerjasama strategik yang terjalin melalui ICORE 2026 akan terus menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, penerbitan bersama, mobiliti akademik dan pelbagai inisiatif pembangunan bakat yang memberi manfaat kepada pensyarah, pelajar serta masyarakat.



