Education

Sentuhan Aspirasi PPKKG perkukuh hubungan dengan komuniti SK Gulau

Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal

SIK, 1 September 2025: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gulau pada 27 Ogos lalu.

Program CSR yang bertemakan ‘Sentuhan Aspirasi: Menyemai Cita-Cita, Menyulam Komuniti’ dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara komuniti (SK Gulau) dengan pihak PPKKG.

Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, program ini memberi manfaat kepada 55 pelajar Tahun 6 dan Tahun 5 daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi dan budaya dengan aktiviti motivasi yang dirangka bagi memupuk semangat belajar dan meningkatkan keyakinan diri.

“Inisiatif seperti ini mampu memberi pendedahan awal tentang hala tuju kerjaya, sekali gus menanam keyakinan dan iltizam dalam diri murid untuk mencapai kejayaan.

“Pendidikan tidak hanya diukur pada pencapaian akademik, tetapi juga pada kekuatan sahsiah dan kesediaan menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Kemuncak program adalah Explorace Kerjaya Tahun 6: “Misi Kerjaya: Siapa Paling Berjaya” yang mengetengahkan empat cabaran utama iaitu Teka Gaya Kerjaya, Puzzle Kerjaya, Mini Debat Kerjaya dan Tiup Tepung Soalan Kerjaya.

Kesemua aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah berperanan memberi pendedahan awal tentang kepelbagaian pilihan kerjaya, di samping mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kerjasama berpasukan dan daya tahan diri.

Majlis disempurnakan dengan ucapan penutup oleh Guru Besar SK Gulau, Abdul Mutalib Sharif, yang merakamkan penghargaan kepada pihak PPKKG.

“Kami amat berterima kasih atas penglibatan dan dedikasi yang telah dicurahkan dalam menjadikan program ini satu pengalaman bermakna buat murid.

“Program ini telah menyuntik semangat baharu kepada murid-murid untuk terus berusaha mencapai kejayaan. Semoga kerjasama erat ini dapat diteruskan demi kebaikan bersama,” katanya.

Sebelum berakhirnya majlis, PPKKG telah menyerahkan set alat tulis kepada murid-murid yang terlibat sebagai simbolik galakan untuk terus menimba ilmu, diikuti dengan sesi fotografi kenangan bersama semua peserta dan pihak sekolah.

PPKKG berharap agar program CSR ini menjadi platform penting dalam membentuk murid yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berdaya tahan, berakhlak mulia dan sentiasa menghargai nilai kebersamaan dalam komuniti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button