Sinergi CEDI–SBM perkukuh keusahawanan sosial UUM, Projek Rumah Budi Nanas terima Geran UTC 3.0
Berita dan gambar Raja Muhammad Iman Zafran Raja Othman
PULAU PINANG, 21 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan ekosistem keusahawanan sosial universiti melalui sinergi strategik antara Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) dan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), yang terbukti berkesan dalam melahirkan inisiatif berimpak tinggi menerusi projek Rumah Budi Nanas.
Projek ini telah berjaya memperoleh Geran University to Community (UTC) 3.0 berjumlah RM17,000, selain menerima sumbangan dana pemula RM1,000 daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Projek Rumah Budi Nanas diketuai oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SBM, Dr. Norzalila Jamaludin selaku Mentor Projek, manakala penyelarasan operasi dan strategik projek dilaksanakan oleh Penyelaras Keusahawanan Sosial CEDI, Fatin Athirah Fadzillah dengan bimbingan akademik berterusan daripada pensyarah-pensyarah kanan SBM iaitu Dr. Azrain Nasyrah Mustapa dan Dr. Siti Noorjannah Abd Halim.
Sinergi antara CEDI dan SBM diterjemahkan melalui penggabungan kepakaran pembangunan keusahawanan sosial, pemetaan komuniti dan pengurusan projek oleh CEDI, bersama kekuatan akademik SBM dalam reka bentuk model perniagaan, strategi pemasaran, pengurusan kewangan dan penilaian kelestarian perusahaan sosial. Pendekatan rentas disiplin ini membolehkan Rumah Budi Nanas dibangunkan bukan sekadar sebagai projek latihan, tetapi sebagai model perusahaan sosial berdaya saing dan bersedia untuk diskalakan.
Dr. Norzalila berkata, struktur bimbingan berlapis ini memastikan integrasi kukuh antara teori, amalan lapangan dan keperluan sebenar komuniti.

Menurutnya, program ini berfungsi sebagai platform nasional untuk menguji kebolehlaksanaan model perusahaan sosial, memperhalusi nilai impak komuniti serta mengukuhkan keupayaan pasukan dalam pembentangan dan penilaian industri.
Projek Rumah Budi Nanas turut melibatkan penyertaan aktif pelajar semester satu yang berperanan sebagai teras pelaksana di peringkat lapangan dan akademik iaitu Nur Hadirah Izzati Dol Malek, Nur Alia Mohammad Juari, Raja Muhammad Iman Zafran Raja Othman serta Muhammad Izzat Syabil Mohd Iznan Shahmi.
Penglibatan awal pelajar baharu ini mencerminkan komitmen UUM dalam membudayakan keusahawanan sosial sejak peringkat awal pengajian, sekali gus membina kefahaman holistik tentang hubungan antara ilmu, komuniti dan impak sosial secara berstruktur dan beretika.
Kejayaan projek ini dicapai melalui penyertaan pasukan UUM dalam Program Nasional Bootcamp University to Community (UTC) 3.0 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang berlangsung pada 14 hingga 17 Disember lalu di The Ship Campus, Batu Kawan.

Kejayaan Rumah Budi Nanas turut melengkapkan rekod konsisten UUM dalam inisiatif University to Community sejak pelaksanaan awal program tersebut. Pada University to Community kali pertama, UUM telah dianugerahkan Anugerah Harapan Komuniti menerusi Projek Anak Alam, iaitu inisiatif penghasilan sabun organik bersama komuniti Pulau Tuba. Seterusnya, dalam University to Community 2.0, UUM dinobatkan sebagai Johan Kategori Pempamer Terbaik di Simposium UTC 2.0 melalui Projek Kafa Amal Budi Bites, yang mengintegrasikan elemen keusahawanan sosial, kebajikan dan pemerkasaan komuniti.
Secara keseluruhan, pencapaian berperingkat ini mencerminkan kekuatan sinergi institusi antara CEDI dan SBM dalam membangunkan keusahawanan sosial berasaskan universiti yang bersifat lestari, berimpak dan relevan dengan keperluan masyarakat. Pendekatan ini sekali gus mengukuhkan peranan UUM sebagai pemacu University to Community di peringkat nasional, selari dengan agenda pembangunan mampan dan aspirasi pendidikan tinggi negara.



