SINERGI@ADIGURU: Jiwa pendidik, teras kecemerlangan SOE
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin
JITRA, 8 September 2025: Lebih 80 warga Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia telah menyertai Program SINERGI@ADIGURU: Pemacu Kecemerlangan SOE di Kelubi Waterfall, Jitra.
Program ini dipengerusikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mardzelah Makhsin, yang menekankan bahawa sinergi antara kecemerlangan akademik dan kesejahteraan diri menjadi asas pembinaan budaya kerja warga SOE.
Menurutnya, program yang berkonsepkan santai itu memberi peluang kepada staf akademik dan pentadbiran untuk memperkukuh ukhuwah melalui aktiviti kerjasama dan interaksi mesra.
“Antara pengisian yang menarik perhatian ialah kerjasama staf lelaki berasaskan koordinasi dan strategi, manakala staf wanita pula mengikuti Spice Harmony Activity, yang menekankan nilai kesabaran, ketelitian serta sinergi kreativiti dalam suasana harmoni,” katanya.
Sementara itu, Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman berkata, SINERGI@ADIGURU memberi ruang kepada warga SOE untuk menyatukan tenaga, memperkukuh hubungan, dan menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan kesejahteraan diri melalui semangat sinergi.
Pengurus Jawatankuasa Rekreasi, Kerohanian & Kesejahteraan SOE, Dr. Nurul Jawahir Md Ali pula menyatakan bahawa penganjuran ini menjadi wadah yang signifikan dalam membentuk warga kerja yang lebih positif dan berdaya tahan.
“Aktiviti santai dan kreatif seperti ini mendidik kita tentang kesabaran, menghargai perbezaan, serta mengukuhkan sinergi kebersamaan dalam komuniti SOE,” katanya.
Selain itu, program turut disemarakkan dengan sesi ice breaking, aktiviti komunikasi berpasukan, serta sesi “Synergy Progresif” yang menekankan kepentingan sinergi dalam kolaborasi dan sokongan bersama. Program diakhiri dengan penyampaian hadiah serta sesi bergambar kenangan.
SINERGI@ADIGURU menzahirkan jiwa pendidik yang sebenar bukan sekadar mengejar kejayaan akademik, tetapi juga membina sinergi ilmu, ukhuwah dan kesejahteraan diri sebagai teras kecemerlangan warga SOE.