SoC teroka kolaborasi strategik bersama ILDBKL dalam transformasi digital dan pengurusan bencana
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Mazida Ahmad
KUALA LUMPUR, 20 Julai 2026: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC) terus memperluaskan jaringan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan menerusi lawatan rasmi ke Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (ILDBKL) bagi meneroka peluang kolaborasi dalam bidang transformasi digital, pengurusan bencana dan pembangunan kompetensi sumber manusia.
Delegasi SOC yang diketuai oleh Ketua Penyelidik Projek DIGIHAZ di bawah geran EU-ASEAN, Prof. Madya Dr. Mazni Omar bersama wakil dari UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) telah disambut oleh Pengetua ILDBKL, Khairul Amir Ahmad bersama barisan pengurusan institut.

Dalam sesi perbincangan tersebut, kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk meneroka kolaborasi rasmi, termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan ILDBKL.
Dr. Mazni berkata, kerjasama yang dicadangkan adalah selaras dengan objektif geran DIGIHAZ EU-ASEAN yang memfokuskan kepada transformasi digital dan pengurusan bencana di peringkat kerajaan tempatan.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meneroka penganjuran seminar atau simposium bersama yang memfokuskan kepada transformasi digital dan pengurusan bencana.
Lawatan ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperkukuhkan hubungan strategik dengan agensi kerajaan serta mengoptimumkan impak penyelidikan dan inovasi melalui pelaksanaan projek antarabangsa yang memberi manfaat kepada masyarakat dan sektor awam.



