Education

SOC UUM teraju Projek DIGIHAZ, perkasa pendidikan digital risiko bencana di peringkat global

Gambar Prof. Dr. Huda Ibrahim

ALICANTE, 16 Julai 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukir kecemerlangan di pentas antarabangsa apabila berjaya menganggotai pelaksanaan projek berprestij  Digital Transformation for Natural Hazards (DIGIHAZ).

Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah EU-ASEAN Sustainable Connectivity Package – Higher Education Programme (SCOPE-HE) bagi Academic Connectivity Grant, yang dibiayai oleh Netherlands Organization for Internationalization in Education (NUFFIC) dan German Academic Exchange Service (DAAD) melalui kerjasama strategik EU-ASEAN bernilai hampir RM2.5 juta.

DIGIHAZ menghimpunkan kepakaran pelbagai institusi pendidikan tinggi dari dua benua iaitu Asia dan Eropah termasuk University of Alicante (Sepanyol), University of West Attica (Greece), University of the Cordilleras dan Xavier University (Filipina), serta dua wakil utama dari Malaysia, iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Sebagai peneraju utama dari Malaysia, SOC UUM memainkan peranan signifikan dalam pembangunan modul pendidikan digital yang menumpukan kepada aspek mitigasi risiko bencana. Modul ini memberi fokus kepada aplikasi Geoinformatik, Sistem Maklumat Geografi (GIS), dan teknologi digital dalam memperkasakan kesiapsiagaan serta ketahanan komuniti terhadap bencana alam. Kandungan ini turut diintegrasikan dalam kurikulum PhD dan Sarjana Sains Geoinformatik dan Pengurangan Risiko Bencana (GeoDRR) yang ditawarkan di UUM.

Ketua delegasi, Prof. Dr. Huda Ibrahim berkata, Projek DIGIHAZ merupakan kesinambungan kejayaan terdahulu melalui projek Erasmus+ GeoDRR, dan menjadi bukti jelas komitmen UUM dalam mendorong transformasi digital pendidikan tinggi yang inklusif, global dan lestari.

Menurutnya, pelaksanaan projek ini bermula dengan Bengkel Intensif DIGIHAZ yang telah berlangsung di University of Alicante, Sepanyol dari 1 hingga 3 Julai lalu, menghimpunkan penyelidik dan pakar antarabangsa untuk membincangkan pendekatan inovatif dalam pendidikan mitigasi risiko bencana.

“Bengkel ini juga menjadi medan strategik untuk mereka bentuk kurikulum digital yang bersifat rentas budaya dan adaptif kepada cabaran semasa,” katanya.

Selain Dr. Huda, turut serta ialah Dekan SOC, merangkap Penolong Naib Canselor UUM CAS, Prof. Dr. Osman Ghazali dan Dr. Fazli Azzali telah membentangkan dapatan penting berkaitan keperluan penambahbaikan dalam aspek kualiti pengajaran dan pembelajaran, cadangan struktur kurikulum PhD Geoinformatik, serta penganjuran Simposium Pelajar DIGIHAZ pada tahun ini.

Integrasi elemen teknologi seperti GIS, sistem amaran awal, dan pendekatan problem-based learning (PBL) dalam aktiviti penyelidikan dan pengajaran turut dibincangkan agar kurikulum DIGIHAZ bersifat holistik dan praktikal.

Kejayaan SOC UUM dalam memimpin projek DIGIHAZ bukan sahaja memperkukuh kedudukan UUM sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat global, malah menonjolkan peranan aktif Malaysia dalam menerajui transformasi pendidikan digital demi keselamatan dan kelestarian komuniti serantau. – Prof. Madya Dr. Mazni Omar

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button