SoIS dekati pelajar Indonesia dan Thailand, perluas promosi program akademik UUM
Gambar Mohd Khairil Hazree Hairudin
YAN, 10 Ogos 2026: Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) memanfaatkan penganjuran aktiviti khidmat masyarakat antarabangsa di Kampung Acheh, Yan sebagai platform untuk mendekati komuniti pelajar Indonesia dan Thailand, sekali gus memperluaskan promosi program akademik yang ditawarkan oleh UUM.

Aktiviti tersebut merupakan sebahagian daripada Program Kerjasama Akademik dan Khidmat Masyarakat Antarabangsa Malaysia-Indonesia-Thailand yang berlangsung pada 4 sehingga 5 Ogos dan menghimpunkan delegasi universiti dari Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Penyertaan delegasi daripada Indonesia dan Thailand membuka ruang kepada SoIS untuk memperkenalkan dengan lebih dekat peluang melanjutkan pengajian di UUM, khususnya program pascasiswazah yang ditawarkan kepada pelajar antarabangsa. Antara universiti dari Indonesia yang menyertai program tersebut ialah Universitas Teuku Umar, Universitas Halu Oleo, Universitas Malikussaleh, Universitas Riau, Universitas Syiah Kuala dan Prince Songkhla University, Kampus Pattani, Thailand.
Kesempatan berada bersama delegasi dalam aktiviti khidmat masyarakat itu turut dimanfaatkan oleh SoIS untuk berinteraksi secara langsung dengan para pelajar serta berkongsi maklumat mengenai peluang melanjutkan pengajian di UUM.

Dekan SoIS, Prof. Madya Dr. Nazariah Osman berkata, melalui interaksi tersebut, pelajar diberikan pendedahan mengenai program akademik yang ditawarkan, khususnya peluang pengajian di peringkat pascasiswazah, selain diperkenalkan kepada persekitaran akademik dan peluang pembelajaran yang tersedia di UUM.
Menurutnya, pendekatan secara bersemuka itu membolehkan maklumat mengenai program pengajian disampaikan dalam suasana yang lebih dekat dan mesra, sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pilihan pengajian yang bersesuaian dengan perancangan akademik mereka.
Pada masa sama, kehadiran wakil universiti dari Indonesia dan Thailand turut membuka peluang kepada SoIS untuk memperluas capaian promosi melalui jaringan institusi, khususnya dalam menyampaikan maklumat mengenai program akademik UUM kepada komuniti pelajar di universiti masing-masing.

Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen SoIS dalam menyokong agenda pengantarabangsaan UUM dengan meningkatkan keterlihatan program akademik universiti dalam kalangan pelajar antarabangsa, khususnya dari negara- negara ASEAN termasuk Indonesia dan Thailand.
Selain membina hubungan dengan komuniti setempat melalui aktiviti khidmat masyarakat, program ini sekali gus memperlihatkan bagaimana platform keterlibatan antarabangsa boleh dimanfaatkan untuk membina jaringan akademik serta mendekati bakal pelajar secara lebih langsung.
Melalui pendekatan ini, SoIS berharap lebih ramai pelajar Indonesia dapat mengenali peluang pengajian yang ditawarkan oleh UUM dan seterusnya mempertimbangkan universiti ini sebagai destinasi untuk melanjutkan pengajian pada masa hadapan. – Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero



