Education

SOL perkukuh sinergi akademia dan industri melalui pelantikan Peguam Negara sebagai CEO@Faculty

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Asmar Abdul Rahim

PUTRAJAYA, 8 Februari 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Peguam Negara bersempena Majlis Penyerahan Surat Lantikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebagai CEO@Faculty SOL di Bilik Kunjungan Hormat Peguam Negara, Jabatan Peguam Negara (AGC), Putrajaya.

Kunjungan ini merupakan satu inisiatif strategik bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama antara institusi akademik dan industri perundangan, khususnya melalui pelaksanaan program CEO@Faculty yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Naib Canselor, Prof.Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pelantikan Peguam Negara sebagai CEO@Faculty di Pusat Pengajian Undang-Undang UUM merupakan satu pengiktirafan yang signifikan kepada komitmen universiti dalam memperkasa pembelajaran berasaskan industri.

“Penglibatan Peguam Negara sebagai CEO@Faculty membuka ruang yang sangat bernilai kepada warga universiti, khususnya pelajar undang-undang untuk mendapat pendedahan langsung terhadap amalan perundangan sebenar serta perspektif profesional di peringkat nasional.

“Kerjasama strategik ini selaras dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab turut menyifatkan program CEO@Faculty sebagai platform penting dalam merapatkan jurang antara teori dan amalan perundangan.

“Perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran oleh Peguam Negara akan memberi nilai tambah yang besar kepada kurikulum, penyelidikan serta pembangunan profesional pensyarah dan pelajar Pusat Pengajian Undang-Undang,” katanya.

Melalui program CEO@Faculty, perkongsian kepakaran dan pengalaman secara langsung melalui khidmat nasihat, syarahan jemputan, perkongsian ilmu serta idea strategik yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar, pensyarah dan kakitangan universiti. Ini adalah sejajar dengan keperluan industri dan landskap perundangan semasa.

Delegasi UUM dalam kunjungan hormat ini turut disertai oleh Timbalan-Timbalan Dekan serta pegawai akademik Pusat Pengajian Undang-Undang.

UUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar atas kesudian menerima kunjungan ini serta sokongan berterusan terhadap usaha memperkukuh pendidikan undang-undang di Universiti Utara Malaysia.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button