Education

SOL UUM dan MSU teroka cadangan penawaran dual program serta kolaborasi penyelidikan dan penerbitan

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Haslinda Mohd Anuar

SINTOK, 16 Julai 2026: Satu sesi perbincangan secara dalam talian telah diadakan dengan produktif antara Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Unievrsiti Utara Malaysia (UUM) bersama Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional, Management and Science University (MSU), kelmarin.

Pertemuan maya ini bukan sahaja bertujuan untuk meneroka peluang akademik spesifik, malah menjadi platform penting dalam memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik antara Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia.

Dekan SOL, UUM, Prof. Dr Harlida Abdul Wahab berkata, perkongsian idea ini memfokuskan kepada beberapa agenda penting bagi membina portfolio akademik yang inklusif, antaranya adalah perbincangan awal mengenai potensi dan struktur penawaran program berkembar (dual program) bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Menurutnya, inisiatif ini dijangka mampu memberi nilai tambah yang kompetitif serta meluaskan prospek kerjaya graduan dalam pasaran kerja global, di samping penerokaan ruang kerjasama dalam projek penyelidikan bersama (joint research) serta usaha sama dalam aktiviti penerbitan artikel ilmiah bagi merancakkan lagi penghasilan karya akademik yang berimpak tinggi turut dibincangkan.

Kolaborasi antara SOL UUM (IPTA) dan MSU (IPTS) ini mencerminkan anjakan positif dalam lanskap pendidikan tinggi negara, di mana jurang antara sektor awam dan swasta dirapatkan demi matlamat akademik yang lebih besar.

Antara impak utama jalinan kerjasama ini termasuklah perkongsian kepakaran dan sumber dengan menggabungkan kekuatan akademik serta penyelidikan teras IPTA dengan kelenturan dan pendekatan berorientasikan industri yang menjadi kekuatan IPTS serta menyokong aspirasi negara selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melihat institusi tempatan saling bekerjasama (bukan sekadar bersaing) bagi memartabatkan kualiti pendidikan tinggi Malaysia di peringkat global.

“Sinergi antara IPTA seperti UUM dan IPTS seperti MSU merupakan langkah progresif. Ia membuktikan bahawa kolaborasi pintar mampu mematangkan ekosistem pendidikan, sekali gus melahirkan modal insan yang lebih dinamik dan sedia mendepani cabaran industri,” katanya.

Langkah proaktif ini menandakan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam membina ekosistem pendidikan yang lebih cemerlang, inklusif, dan relevan dengan perkembangan semasa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button