SOL UUM dan UNIMAS perkukuh kerjasama akademik
Gambar Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain
KOTA SAMARAHAN, 9 Februari 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada hujung Januari lalu bagi membincangkan potensi kerjasama akademik strategik antara kedua-dua institusi.

Delegasi Pusat Pengajian Undang-Undang UUM telah diketuai oleh Penolong Naib Canselor COLGIS selaku Dekan, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab bersama Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain.
Kunjungan tersebut telah disambut oleh delegasi UNIMAS yang diketuai oleh Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Prof. Dr. Dayang Affizah Awang Marikan dan turut dihadiri oleh beberapa orang pensyarah undang-undang dan Pegawai Penolong Pendaftar Fakulti Undang-undang.
Antara fokus utama perbincangan adalah berkaitan cadangan penawaran Program Sarjana Undang-Undang secara bersama antara Pusat Pengajian Undang-Undang UUM dan UNIMAS.
Dr. Harlida berkata, perbincangan turut meliputi aspek perincian penawaran program sarjana undang-undang secara pusat pembelajaran, termasuk struktur program, mod penyampaian, serta potensi sokongan akademik dan kemudahan pembelajaran.

“Saya berharap agar kunjungan hormat ini menjadi cerminan komitmen di antara kedua-dua universiti dalam memperkukuh hubungan strategik dan memperluaskan kerjasama akademik, selaras dengan aspirasi memperkasa pendidikan tinggi dan penyelidikan undang-undang di peringkat nasional,” katanya.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan peluang kolaborasi penganjuran seminar dan program ilmiah antara Pusat Pengajian Undang-Undang UUM dan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UNIMAS sebagai platform perkongsian kepakaran, penyelidikan serta jaringan akademik yang lebih meluas.
Delegasi UUM turut berkesempatan bertemu dengan Dato’ Dr. Johan Shamsudin yang baru sahaja dilantik sebagai Dekan Fakulti Undang-Undang UNIMAS.
Beliau berharap agar program akademik yang dirancang dan kerjasama lain juga dapat dilaksanakan dengan jayanya. – Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah



