Education

SQS tuan rumah Roundtable Discussion Bersama Rakan MoU Antarabangsa bagi perkukuh kerjasama global 

SINTOK, 30 Jun 2025: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), UUM telah menganjurkan satu sesi Roundtable Discussion bersama 10 buah universiti rakan MoU antarabangsa yang kebanyakkannya mempunyai perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SQS.

Sesi ini telah diadakan secara hibrid dan melibatkan penyertaan institusi dari pelbagai negara yang menandakan satu langkah proaktif ke arah memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan di peringkat global.

Antara universiti yang terlibat ialah Shahjalal University of Science and Technology (SUST), Bangladesh; Tashkent State University of Economics (TSUE) Uzbekistan; Tashkent International University of Financial Management and Technologies (TIFT), Uzbekistan; University of Santo Tomas, Filipina; Termez State University (TerSU), Uzbekistan; University of Anbar, Iraq; Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Djati, Indonesia; National High School of Statistics and Applied Economics (ENSSEA), Algeria;  CUNEF Universidad, Sepanyol dan University of Gombe, Nigeria.

Sesi perbincangan ini dihadiri oleh Dekan, Timbalan-timbalan Dekan, Pengerusi Program dan para pensyarah SQS. Ia bertujuan untuk meneroka peluang kolaborasi baharu dan memperincikan pelan strategik dalam pelbagai bidang utama seperti pengajaran, penyelidikan, penerbitan bersama, serta pertukaran pelajar dan staf akademik.

Antara agenda utama yang dibincangkan termasuklah pengenalan profil dan kekuatan akademik setiap universiti; perancangan bersama dalam aspek akademik dan pengajaran, termasuk potensi penawaran program “joint degree” serta pemadanan kurikulum; peluang kerjasama penyelidikan, khususnya dalam bidang statistik, aktuari, analitik data dan sains kuantitatif; strategi penerbitan bersama dalam jurnal berindeks tinggi dan perancangan aktiviti mobiliti pelajar dan pensyarah secara dua hala.

Menurut Dekan SQS, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim, sesi ini mencerminkan komitmen SQS dalam memperkukuh jaringan antarabangsa demi memacu kecemerlangan akademik dan penyelidikan di SQS.

“Perbincangan ini bukan sekadar simbolik malah membawa nilai strategik jangka panjang. Ia membuka jalan untuk kerjasama global yang lebih tersusun dan produktif dalam bidang kuantitatif. Disamping itu, ianya akan menyumbang kepada peningkatan kualiti akademik, kebolehpasaran graduan serta memperluaskan impak penyelidikan di peringkat global,” ujarnya.

SQS merakamkan penghargaan kepada semua universiti rakan MoU yang hadir dan memberi komitmen yang tinggi terhadap usaha kolaborasi ini. Pelaksanaan hasil perbincangan ini akan terus dipantau melalui pelbagai mekanisme susulan yang telah disepakati bersama. – Haslida Ismail

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button