SQS UUM tarik minat matematik murid menerusi Program ‘Math in Motion’
Gambar Adyda Ibrahim dan Ayu Abdul Rahman
ALOR SETAR, 15 Mac 2026: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil inisiatif untuk mendekatkan ilmu matematik kepada komuniti sekolah menerusi program Sci Math Explorer: Math in Motion di Sekolah Kebangsaan Kampong Gelam, Jalan Datuk Kumbar.

Ketua Program, Dr. Ros Idayuwati Alaudin berkata, program yang berlangsung pada 15 Januari lalu dilaksanakan melalui inisiatif STI 100³ Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan bertujuan memperkenalkan konsep Matematik secara lebih menyeronokkan kepada murid melalui pendekatan pembelajaran berasaskan permainan.
Seramai 63 murid terdiri daripada 38 murid Tahun 6 dan 25 murid Tahun 5 telah terlibat dalam program sehari yang digerakkan oleh lima pensyarah SQS.

Aktiviti bermula dengan sesi taklimat ringkas mengenai operasi asas matematik (tambah, tolak, darab, bahagi) serta keutamaan operasi dalam pengiraan.
Kemuncak program adalah permainan ‘Math in Motion’ di mana murid bergerak secara berpasangan dalam kumpulan masing-masing untuk memadankan soalan dan jawapan di beberapa stesen aktiviti. Ini bukan sahaja menguji kemahiran pengiraan pantas tetapi turut memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta.

Guru Besar SK Kampong Gelam, Muhamad Sofi Hashim berkata, pendekatan pembelajaran melalui permainan yang dibawa oleh pihak UUM ini berjaya menarik minat murid terhadap matematik.
Menurutnya, kaedah ini menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan serta membantu mereka memahami konsep dengan lebih mudah.
Program ini menunjukkan komitmen berterusan UUM dalam mempromosikan pendidikan STEM yang interaktif dan memberi pendedahan awal kepada murid melalui kolaborasi strategik antara universiti dan sekolah. – Dr. Ros Idayuwati Alaudin



