STEMQuest: NumberQuest Crossword asah penguasaan asas matematik murid
Gambar Dr. Ayu Abdul Rahman
KODIANG, 28 Januari 2026: Seramai 53 murid Tahun 5 dan 6 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Megat Dewa telah menyertai aktiviti NumberQuest Crossword yang dilaksanakan pada 19 Januari lalu.

Aktiviti ini merupakan sambungan daripada aktiviti pertama Program STEMQuest di bawah Program STI 100³ Kitaran 2 Tahun 2025 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang melibatkan empat pensyarah dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) diketuai oleh Zakiah Hashim dan dibantu oleh Dr. Ayu Abdul Rahman, Yuhaniz Ahmad serta Norhafiza Mohd. Noor.
Zakiah berkata, aktiviti NumberQuest Crossword memberi penekanan kepada penguasaan asas Matematik serta kemahiran tukaran nilai ukuran, pecahan dan peratus melalui pendekatan permainan silang kata yang interaktif.

Menurutnya, kaedah pembelajaran ini bukan sahaja membantu murid memahami konsep Matematik dengan lebih berkesan, malah turut merangsang pemikiran kritis dan kreatif dalam kalangan murid.
Sepanjang pelaksanaan aktiviti, kerjasama yang baik serta keupayaan pemikiran murid jelas dapat dilihat ketika mereka menyelesaikan tugasan yang diberikan.
Aktiviti ini berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif, menyeronokkan dan bermakna, serta diharap dapat memberi impak positif terhadap penguasaan Matematik dalam kalangan murid. – Zakiah Hashim



