STHEM dan MATA kukuh jalinan kerjasama di WITEX 2025
Gambar STHEM
SINTOK, 10 September 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Malaysia Tourism Agency Association (MATA) telah mengadakan Majlis Penyerahan Surat Penyataan Hasrat (LoI) antara UUM dan MATA sebagai simbolik jalinan kerjasama sempena program CEO’s Summit di World Islamic Tourism & Trade Expo (WITEX) 2025 bertempat di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway, baru-baru ini.
Upacara simbolik ini menandakan komitmen awal kedua-dua pihak untuk memperkukuhkan kerjasama strategik dalam bidang pelancongan negara selain membuka jalan kepada inisiatif bersama yang lebih konkrit pada masa hadapan.
STHEM diwakili Dekan iaitu Prof. Madya Dr. Johan Afendi Ibrahim berkata, LoI ini adalah langkah penting dalam menghubungkan dunia akademik dengan keperluan industri.
“Walaupun bersifat simbolik, majlis ini jelas menunjukkan komitmen kedua-dua pihak untuk melangkah lebih jauh dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju pelancongan global,” katanya.
Sementara itu, Presiden MATA, Dato’ Seri Dr. Mohd Khalid Harun menekankan bahawa kerjasama ini amat bertepatan dengan agenda nasional.
“Melalui kerjasama bersama UUM, kita dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memahami keperluan pelancong antarabangsa.
“Inisiatif ini akan memberi impak besar kepada industri pelancongan negara,” katanya.
WITEX 2025 adalah merupakan program antarabangsa yang menghimpunkan lebih 150 pempamer termasuk STHEM, tokoh industri, dan peserta dari seluruh dunia dengan tema “Empowering the Future of Islamic Tourism and Trade through Culture and Innovation”.
Antara agenda utama program tersebut adalah World Islamic Tourism Conference, Ministers & CEOs Summit dan World Cultural & Arts Festival (WCAF) serta Majlis LOI simbolik antara STHEM, UUM dan MATA di pentas WITEX menggariskan peranan penting acara ini sebagai jambatan untuk menghubungkan dunia akademia, industri, dan kerajaan dalam membentuk masa depan industri pelancongan.
Program ini turut menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh persediaan negara menuju Tahun Melawat Malaysia 2026. – Muhammad Saufi Anas