SULAM IBS beri pendedahan awal pengurusan halal di SK Felcra Lubuk Sireh
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Azizah Othman
PERLIS, 7 Januari 2026: Program Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) oleh Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felcra Lubuk Sireh bertemakan Halal Smart Kids telah memberikan pendedahan awal tentang isu halal dan haram di peringkat kanak-kanak.

Program ini melibatkan 24 pelajar daripada kursus BIMCK 3073 Seminar Pentadbiran Muamalat yang telah membimbing seramai 48 pelajar Tahun 6 sekolah tersebut dalam beberapa aktiviti seperti ceramah, melukis logo halal dan kuiz, secara tidak langsung pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan mereka dengan berkongsi ilmu dan pengalaman kepada komuniti.
Pensyarah kursus, Prof. Madya Dr. Azizah Othman berkata, pelaksanaan program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk melibatkan diri dengan komuniti dan berkongsi ilmu yang mereka pelajari di bilik kuliah.
“Program SULAM adalah medan untuk pelajar menunjukkan bakat dan kemahiran mereka dalam menguruskan satu program komuniti dan mengaplikasikan secara langsung ilmu berkaitan halal kepada komuniti. Pada masa yang sama, pelajar sekolah mendapat pendedahan awal berkaitan pengurusan halal,” katanya.

Program ini diperkukuhkan dengan penyampaian ceramah halal oleh Pengarah Program, Mohammad Hidayat Alimin yang memberi penerangan berkaitan kepentingan halal dalam kehidupan Muslim yang melibatkan makanan, kosmetik dan barang gunaan.
Menurutnya, pelajar juga dinasihatkan berhati-hati dalam pembelian makanan dan perlu mengenali logo halal Malaysia yang asli.
Kemudian, program diteruskan dengan aktiviti berkumpulan yang dibimbing oleh semua fasilitator dari Universiti Utara Malaysia. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah pertandingan melukis logo halal, kuiz, teka silang kata dan beberapa aktiviti yang berkaitan dengan pengurusan halal.
Melalui program SULAM ini, hubungan universiti bersama masyarakat dapat diperkukuhkan, di samping melahirkan pelajar universiti yang kompeten dan berdaya saing serta bersedia untuk menjadi ejen perubahan dalam komuniti.



