Education

Tawaran Program Pascasiswazah Kohort Khas IBS kepada warga YIK dan PKB disambut baik

Gambar Mohd Saharudin Shakrani

KELANTAN, 27 Julai 2026: Tawaran Program Pascasiswazah Kohort Khas oleh Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada warga Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Permodalan Kelantan Berhad (PKB) menerima sambutan yang amat menggalakkan, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi dalam memperkukuhkan pembangunan modal insan dan kecemerlangan profesional.

Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor berkata, inisiatif kohort khas itu merupakan sebahagian daripada usaha IBS memperluaskan akses kepada pendidikan pascasiswazah yang fleksibel, berkualiti dan memenuhi keperluan semasa sektor awam serta korporat.

Menurutnya, program-program yang ditawarkan adalah Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam (MIFB), Sarjana Pengajian Perniagaan Islam (MIBS), Sarjana Pengajian Perniagaan Islam (MIBS) secara Penyelidikan,Sarjana Sains (Kewangan Islam) (MSc.IF) secara Penyelidikan dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Muamalat dan Penasihatan Syariah, Ekonomi Islam, Kewangan dan Perbankan Islam dan Pengurusan Islam.

Selain itu, IBS juga menawarkan program profesional seperti Sijil Perancangan Zakat dan Cukai (CiZT), Sijil Perancangan Harta Pusaka Islam (CiIEP),Sijil Perancangan Haji (CHP). Program Pensijilan Profesional seperti Perancang Kewangan Islam (Islamic Financial Planner) Status Cabaran (Challenge Status),Kelayakan Bersekutu Penuh dalam Kewangan Islam (Associate Qualification in Islamic Finance – AQIF),Kalayaan Profesional Bertauliah dalam Kewangan Islam – Pengurusan Kekayaan (Certified Qualification in Islamic Finance – Wealth Management, CQIF-WM) dengan Kerjasama IBFIM & FPAM dan kursus-kursus professional dalam bidang halal yang diiktiraf JAKIM.

Dr Selamah berkata, program-program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada warga YIK dan PKB meningkatkan kelayakan akademik, malah memperkukuhkan kompetensi kepimpinan, penyelidikan dan pengurusan berteraskan nilai profesionalisme, integriti serta tadbir urus yang cemerlang.

“IBS sentiasa komited untuk menjalin kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, institusi pendidikan dan syarikat berkaitan kerajaan dalam melahirkan modal insan berpengetahuan tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan organisasi dan negara. Program Kohort Khas ini merupakan platform terbaik untuk merealisasikan hasrat tersebut,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Perkhidmatan Guru), Yayasan Islam Kelantan (YIK), Azman Hussin menyifatkan tawaran pengajian pascasiswazah oleh IBS sebagai satu inisiatif yang tepat pada masanya dalam meningkatkan kompetensi dan kelayakan profesional warga YIK.

Menurutnya, pendekatan pembelajaran yang fleksibel serta kandungan kurikulum yang relevan dengan keperluan semasa diyakini mampu melahirkan lebih ramai pemimpin pendidikan yang berdaya saing serta berupaya menyumbang kepada kecemerlangan institusi.

Bagi pihak Permodalan Kelantan Berhad (PKB), Pengurus Besar, Hassan Shukri Hussein turut menyambut baik tawaran tersebut dan menyifatkannya sebagai peluang strategik untuk memperkasa pembangunan modal insan organisasi.

Katanya, peluang melanjutkan pengajian secara kohort khas membolehkan warga PKB meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tanpa menjejaskan komitmen terhadap tugasan harian.

Beliau yakin kerjasama antara IBS, YIK dan PKB akan membuka lebih banyak ruang kolaborasi dalam bidang pendidikan, penyelidikan serta pembangunan profesional yang mampu memberi impak positif kepada organisasi dan pembangunan sosioekonomi negeri Kelantan.

Program Kohort Khas ini dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan strategik antara Universiti Utara Malaysia, Yayasan Islam Kelantan dan Permodalan Kelantan Berhad, selaras dengan aspirasi melahirkan tenaga kerja berkelayakan tinggi, berdaya saing dan berupaya menghadapi cabaran masa hadapan. – Prof. Madya Dr. Mohd Zakhiri Md Nor

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button